MUHAMMAD Danial Hakimi dan Nur Erisya Sofea menumpang hidup dengan nenek.
MUHAMMAD Danial Hakimi dan Nur Erisya Sofea menumpang hidup dengan nenek.
Siti Rohana Idris


DUA beradik dari Teluk Renjuna Tenaik, Tumpat, ‘bercuti’ dari persekolahan sepanjang tahun lalu disebabkan mengalami kekangan kewangan.

Muhammad Danial Hakimi Abdul Razak, 11, dan adiknya, Nur Erisya Sofea, 10, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru mengambil keputusan tidak bersekolah selama setahun selain masalah keluarga menyebabkan dia dan seorang lagi adik berada dalam jagaan nenek, Mek Sah Jusoh, 60.

Muhammad Danial Hakimi berkata, dia mahu kembali ke sekolah kerana rindukan sesi pembelajaran dan rakan.

“Nenek tidak mampu beli keperluan sekolah kami. Syukur ada pihak sudi beli baju serta keperluan pada hari kedua sesi persekolahan,” katanya.

FAIZAH (kiri) menziarahi Mek Sah di rumahnya di Kampung Teluk Renjuna Tenaik.
FAIZAH (kiri) menziarahi Mek Sah di rumahnya di Kampung Teluk Renjuna Tenaik.

Dia turut menyuarakan rasa bimbang jika perbelanjaan persekolahan mereka selepas ini berdepan masalah, namun beban itu sedikit ringan apabila dia terpilih tinggal di asrama.

“Dari segi makan minum ditanggung sekolah dan jika tidak bawa wang saku kami mampu bertahan sehingga waktu makan tengah hari di asrama nanti.

“Cuma risau jika ada pembayaran lain kerana nenek hanya menjual kerepek dan kalau boleh kami tidak mahu membebankannya,” katanya.

Keperluan persekolahan dua beradik itu disediakan aktivis masyarakat, Faizah Qemerzaman selepas dimaklumkan mengenai masalah keluarga itu.

Sementara itu, Faizah berkata, dia memperuntukkan RM450 hasil sumbangan orang ramai untuk kelengkapan awal persekolahan dua beradik itu baru-baru ini.

“Saya dihubungi nenek mereka pada hari pertama persekolahan untuk memohon bantuan. Saya terkejut kerana saya tidak pernah dimaklumkan berkaitan masalah dihadapi mereka.

“Sumbangan orang ramai ini juga saya guna untuk membayar yuran asrama berjumlah RM50 setiap seorang.

“Saya juga cuba ikhtiar sumbangan lain sebagai wang saku bagi dua beradik ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 January 2020 @ 6:30 AM
Kabinet Malaysia 2020