ORANG ramai memenuhi halaman rumah mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
ORANG ramai memenuhi halaman rumah mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Nor Farhani Che Ad


SEORANG kanak-kanak perempuan berusia lima tahun parah di perut selepas ditikam jirannya dalam kejadian di Kampung Keda Che Bema, Sungai Layar, di Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang, suspek berusia 27 tahun itu dikatakan memasuki rumah mangsa sebelum menikam mangsa yang ketika itu berbaring di ruang tamu rumahnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek dipercayai memasuki rumah mangsa melalui pintu dapur yang tidak berkunci.

“Suspek dikatakan meluru masuk ke rumah mangsa dan terus menikam perut sebelah kiri mangsa dengan sebilah pisau.

“Suspek melarikan diri ke rumahnya yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mangsa selepas mendengar jeritan ibu dan kakak mangsa yang ketika itu turut berada di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan serius akibat kesan tikaman sedalam kira-kira empat sentimeter.

Beliau berkata, polis berjaya menahan suspek di rumahnya serta merampas pisau yang digunakan yang dibuang di kawasan semak di hadapan rumahnya.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah dan semakan turut mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes pecah rumah,” katanya.

Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan, bagaimanapun menurut ibu mangsa, suspek dilihat mengamuk pada malam sebelum hari kejadian akibat pengaruh dadah.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim dan menerima rawatan di zon merah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mencederakan dengan senjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 11:59 PM