BERNAMA

KIRA-KIRA 15 juta rakyat Malaysia yang layak boleh menuntut wang RM30 pemberian kerajaan daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Grab, Boost, dan Touch ‘n Go, mulai 8 pagi esok.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan memperuntukkan RM450 juta bagi tujuan itu di bawah pelaksanaan program e-Tunai Rakyat.

Setiap rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas serta berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menerima wang e-tunai itu, katanya pada sidang media mengenai e-Tunai Rakyat di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

“Pengendali e-dompet akan menambah baik pemberian RM30 wang percuma dibiayai oleh kerajaan dengan memberi insentif tersendiri.

“Ini bermakna rakyat Malaysia yang layak akan menerima lebih daripada RM30 melalui inisiatif itu,” katanya sambil menambah jumlah tambahan itu akan diumumkan sendiri oleh tiga pengendali berkenaan, esok.

Lim berkata, wang RM30 itu boleh dibelanjakan untuk semua barangan dan perkhidmatan terdapat melalui platform pengendali terpilih.

Beliau berkata, inisiatif e-Tunai Rakyat itu dibentuk bagi meluaskan lagi penggunaan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan peniaga, terutama dalam sektor runcit.

LIM (tengah) bersama wakil pengendali e-dompet ketika sidang media Pengumuman Pelancaran Inisiatif e-Tunai Rakyat di Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.

“Oleh itu, kerajaan menggalakkan semua peniaga untuk berdaftar dengan satu atau semua pengendali e-dompet terbabit supaya mereka mendapat manfaat daripada inisiatif e-Tunai Rakyat yang bernilai RM450 juta sebelum 14 Mac berakhir.

“Setakat ini, lebih lapan juta peniaga menggunakan perkhidmatan pembayaran e-dompet dan jumlah itu diharap meningkat selepas pengumuman inisiatif e-Tunai Rakyat,” katanya.

Lim berkata, bagi memastikan inisiatif itu akan mempercepatkan proses digitalisasi, wang RM30 itu perlu dibelanjakan oleh penerima bermula 15 Januari hingga 14 Mac.

Beliau berkata, baki yang tidak dibelanjakan akan luput selepas 14 Mac.

“Rakyat yang layak diberi tempoh untuk memohon wang percuma itu sebelum 9 Mac untuk memastikan proses pengesahan dan pemberian wang dapat dibuat dalam masa selewat-lewatnya tempoh lima hari bekerja.

“Proses pengesahan mereka yang layak akan melalui tiga peringkat.

“Ia bermula daripada Jabatan Pendaftaran Negara bagi pengesahan kad pengenalan, kemudiannya Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi pendapatan bawah RM100,000 setahun dan semakan bagi memastikan individu itu hanya memohon daripada satu pengendali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 1:04 PM