PUTERI Balqis.
Sudirman Mohd Tahir

PENERBIT terkenal, Datuk A Aida mengakui sentiasa membantu pelakon cilik, Puteri Balqis dengan menawarkannya berlakon.

Terbaru, Puteri Balqis bakal membintangi telefilem terbitan A Aida Production iaitu Tiada Galang Ganti bagi tayangan slot Cerekarama di TV3.

“Selepas dapat tahu dia sakit sejak dua tahun lalu, saya selalu menawarkannya berlakon. Saya mahu bantu dia dan ibunya menjana pendapatan.

“Apatah lagi saya tahu dia menanggung keluarga, jadi tidak salah jika berikan dia kerja. Lagipun dia pelakon yang berbakat.

“Akan datang dia muncul dalam telefilem terbaru syarikat saya arahan Along Kamaludin. Telefilem ini sedang dalam proses penggambaran,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, penerbit, Fadzil Teh turut bersimpati dengan nasib menimpa Puteri Balqis.

“Syarikat saya yang mula-mula bawa di jadi pelakon. Dia memang pelakon yang berbakat. Cuma, apabila dia semakin terkenal, jadual pun sibuk.

“Sehinggalah dapat tahu dia sakit. Pernah juga nak tawarkan berlakon, tapi dimaklumkan jadualnya penuh.

“Sekali lagi saya terbaca mengenai kisah hidupnya yang jual buku di jalanan sekitar ibu negara. Kasihan dia. Insya-Allah, nanti saya nak cari dia dan beli buku itu,” katanya.

Dalam masa sama, Fadzil berpesan kepada semua pelakon supaya sentiasa beringat apabila berada di puncak populariti dan kejayaan.

“Apa yang menimpa Puteri Balqis boleh menjadi pengajaran kepada semua. Kena ingat, langit tidak selalunya cerah. Sentiasalah beringat ketika anda senang dan mewah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 January 2020 @ 8:02 PM