X
BELLA Dally.
BELLA Dally.
Sudirman Mohd Tahir


WATAK Iliya yang dilakonkan dalam drama bersiri fenomena, Adellea Sofea di slot Akasia, TV3 kembali menghangatkan nama pelakon cantik, Bella Dally.

Walaupun tidak membawa watak utama, tapi penonton jatuh cinta dengan Iliya.

Bella atau nama sebenarnya Nabila Ali Dally berkata, watak itu sudah lama diidamkan dan ia juga kena dengan dirinya.

“Sebenarnya, saya sudah lama mengidamkan watak seperti itu. Iliya digambarkan sebagai wanita tegas, berdikari, bergaya dan bijak.

“Apatah lagi dalam dunia realiti saya memang ‘adore’ wanita yang berperwatakan seperti itu. Lama sangat saya tak berlakon watak yang kuat.

“Sebelum ini saya selalu diberikan watak lemah lembut saja. Jadi, apabila dapat peluang ini, saya cuba buat yang terbaik dan melepaskan geram. Alhamdulillah, drama ini memberi kesan bagus kepada saya,” katanya.

Menariknya juga, Bella mengakui kerjaya seninya kembali sibuk selepas mendirikan rumah tangga dengan Arif Izuddin Mohd Radzali pada 30 Mac lalu.

Bukan itu saja, jadual harian Bella juga terisi dengan perniagaan kosmetik diusahakan selain aktiviti sebagai duta produk.

“Alhamdulillah, saya makin sibuk sekarang. Selepas selesai penggambaran drama Adellea Sofea, saya terbabit pula dalam telefilem, Durian Oh Durian selain bakal ke lokasi cerita Hantu Penunjuk Jalan juga untuk slot Cerekarama di TV3.

“Selain itu, saya juga sibuk menguruskan perniagaan kosmetik iaitu Olumis Cosmetics. Tahun ini saya memang nak fokus untuk kembangkan perniagaan. Saya berasa semangat dengan bidang baru ini. Banyak lagi saya ingin capai.

“Insya-Allah, saya dalam perancangan menambah rangkaian kosmetik. Bulan depan saya akan buat pelancaran kosmetik terbaru, Starstruck by Bella Dally,” katanya yang masih menjadi duta Ariani.

SENTIASA mendapat restu suami.
SENTIASA mendapat restu suami.

Dapat restu suami

Apa yang pasti, setiap apa dimiliki Bella kini berdiri di belakangnya suami yang sentiasa memberikan sokongan dan dorongan.

“Saya gembira sebab dapat menjadi diri sendiri dan suami sangat memahami dan ‘cool’. Apa saja saya nak buat dalam kerjaya berasa bebas sebab dia sentiasa memberi restu dan menyokong saya.

“Dari awal perkahwinan, sokongan suami tidak pernah berbelah bahagi. Dia lagi suka saya berlakon dan bekerja. Sebab, dia suka tengok saya aktif.

“Malah, saya tidak dapat melepaskan dunia seni lagi. Ada beberapa perkara dalam bidang ini yang belum dicapai lagi,” katanya.

Ditanya sama ada suaminya meletakkan sebarang syarat untuk aktif dalam bidang seni, Bella berterima kasih kerana suami memberikan kepercayaan penuh.

“Langsung tidak ada syarat. Mungkin sebab dia memang percayakan saya. Seperkara lagi, dia tahu yang saya pandai jaga diri,” katanya.

Mengenai cahaya mata pula, Bella dan semua menyerahkan perkara itu pada ketentuan Allah SWT.

“Dalam soal anak, ia adalah rezeki Allah. Setiap pasangan berkahwin tentu saja inginkan cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga.

“Saya percaya, rezeki ini akan ada juga suatu hari nanti. Cuma, lambat atau cepat saja. Perancangan Allah itu lebih baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 6:00 AM