FAIRUZ (gambar kiri) bersama anaknya, Mya membantu membaiki lantai dan almari yang rosak di asrama Sekolah Seri Puteri. FOTO Ihsan Fairuz Mohamad
Yusmizal Dolah Aling


“BUKAN mahal pun,” itu reaksi diberi tukang rumah, Fairuz Mohamad yang mengambil inisiatif membaiki almari rosak di asrama Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, sejak dua minggu lalu.

Selain membaiki almari untuk kemudahan lebih 100 pelajar sekolah itu, Fairuz juga ‘ringan tulang’ menyimen lantai berlubang di asrama pelajar untuk keselesaan mereka.

Fairuz berkata, pada mulanya dia hanya ingin membantu membaiki almari anaknya Mya Elzahara, 14, yang rosak selepas mendaftar di asrama sekolah itu awal bulan ini.

Menurutnya, apabila melihat keadaan beberapa almari yang rosak di asrama sekolah itu, dia mula berasa kasihan dan terdetik ingin membantu membaikinya.

Lagipun, katanya, perabot di situ hanya mengalami kerosakan kecil seperti engsel pintu tercabut dan tempat kunci yang tidak boleh digunakan.

“Jadi, saya bantu baiki. Bila ada ibu bapa yang minta bantuan untuk baiki almari anak mereka, saya buat juga. Bukan mahal pun.

“Saya menyimen lantai berlubang di asrama berkenaan untuk keselesaan pelajar di situ tanpa mengenakan apa-apa bayaran,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Fairuz, dia dibantu Mya yang mempunyai kemahiran bertukang menjadikan kerja baik pulih berkenaan menjadi mudah.

Katanya, anaknya itu menjadi pembantunya sejak beberapa tahun lalu dan berkebolehan melakukan kerja asas pertukangan, termasuk membaiki bumbung.

“Dia juga bantu saya membaiki almari rakannya. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga memberi kerjasama dan meminta saya membaiki beberapa kerosakan kecil yang lain.

“Saya tak minta bayaran, terpulanglah jika mereka nak bagi,” katanya yang juga Presiden Kelab Perantau 11, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan.

Fairuz berkata, niatnya ikhlas membantu untuk keselesaan anak dan rakannya yang belajar di situ.

“Saya harap bantuan yang tak seberapa ini, pelajar dapatlah belajar dengan selesa.

“Saya buat apa yang termampu, tidak mengharapkan apa-apa balasan. Ramai juga ibu bapa datang membantu, alhamdulillah,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Hasnal Hashim berkata, pihaknya berterima kasih atas inisiatif diambil untuk memastikan pelajar dapat menggunakan kemudahan di asrama.

Katanya, menerusi program gotong royong, ibu bapa dapat mengenali antara satu sama lain dan memberi bantuan bukan saja kepada anak mereka tetapi rakan yang tinggal bersama.

“Di sini ibu bapa mengenali Fairuz dan ada yang mengambil keputusan untuk menggunakan khidmatnya. Dia tak letakkan harga, tapi kita berikan upah kerana dia buat kerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 8:45 PM