MAHU banyak belajar ilmu lakonan.
MAHU banyak belajar ilmu lakonan.
Ridzuan Abdul Rahman

LAKONANNYA sebagai Uda menerusi drama bersiri 4 Penjuru yang ditayangkan di Astro Ria pada Ramadan lalu berjaya membawa namanya melekat di hati penonton.

Selepas lapan tahun mencuba nasib, barulah Ezzaty Abdullah, 29, mengecapi nikmat populariti yang diidamkan oleh semua pelakon sepertinya.

Justeru, Ezzaty tidak menolak apabila ditawarkan membintangi drama berjudul Korban Kasih untuk tayangan Ramadan tahun ini di RTM.

“Korban Kasih arahan Pali Yahya diadaptasi daripada novel juga berkonsepkan kekeluargaan seperti 4 Penjuru. Saya memang akan ambil tawaran berlakon drama untuk Ramadan selepas melihat reaksi yang bagus daripada penonton.

“Sehingga sekarang pun peminat masih panggil saya sebagai Uda setiap kali berjumpa di mana-mana sekali gus membuktikan mereka menggemari cerita ini,” katanya.

Ezzaty berkata, dalam masa sama dia juga ditawarkan berlakon watak heroin untuk sebuah drama lain, namun hatinya memilih drama yang turut dibintangi Saharul Ridzwan, Zara Zya, Azrel Ismail, Dynas Mokhtar dan Hasnul Rahmat ini.

“Bagi saya, ‘mood’ kekeluargaan timbul pada Ramadan apabila semua orang berkumpul di depan TV untuk menonton drama.

“Apatah lagi drama berkonsep kekeluargaan disukai kerana ceritanya menarik. Apabila ada pilihan, mestilah saya pilih yang terbaik. Tak kisahlah watak heroin atau sampingan asalkan ia beri impak pada penonton,” katanya.

Turut menyerlah sebagai Edora menerusi drama Suri Katriana yang baru berakhir tayangannya, Ezzaty turut melihat kesesuaian jadualnya sebelum bersetuju berlakon dalam sesebuah drama.

“Saya tak menolak apa saja watak asalkan

menepati kehendak jadual saya. Sebagai isteri dan ibu, saya perlukan juga masa bersama keluarga.

“Jika saya dapati jadual itu buat saya sukar meluangkan masa untuk keluarga, sudah pasti saya akan menolak. Untungnya berlakon dengan abang Pali, penggambaran hanya dibuat pada sebelah siang dan ia sangat melegakan,” katanya.

Isteri kepada pelakon Azwan Kombos dan ibu kepada Harum Dahlia ini bersyukur kerana tawaran berlakon kini tidak putus-putus diterima daripada pelbagai syarikat produksi.

“Alhamdulillah sejak kembali berlakon September tahun lalu, jadual saya padat sehingga Aidilfitri nanti. Itupun saya terpaksa tolak beberapa tawaran lain yang datang.

“Apabila peminat sudah kenal, permintaan untuk saya mula ada dan penerbit pun mula tawarkan untuk berlakon. Biarpun lambat dikenali, saya tiada masalah kerana rezeki Allah tentukan. Ada yang cepat dan ada yang lambat. Dalam tempoh mencipta nama, dapatlah saya belajar selok-belok lakonan,” katanya.

Ezzaty yang juga pernah membintangi filem Kau Takdirku bersama Remy Ishak dan Bront Palarae berkata, dia lebih suka berlakon dengan pelakon yang berkualiti kerana secara tidak langsung dapat memperbaiki mutu lakonannya.

“Itu bukan bermakna saya cerewet tapi ia perlu kerana boleh beri impak pada lakonan kita sendiri. Kalau dapat pasangan pelakon yang kurang bagus, ia boleh merosakkan karier saya.

“Benda ini pernah berlaku kepada saya dan saya mengakui tak pandai nak membalas balik jika berdepan dengan pelakon yang kurang memberi. Akhirnya kedua-dua pihak kaku dan mati kutu dibuatnya.

“Saya akui belum cukup bagus dan perlu masuk kelas lakonan lagi untuk mempertingkatkan kualiti berlakon. Setakat ini saya hanya mempunyai ilmu lakonan sekitar 10 peratus saja,” katanya.

BUKAN cerewet, tapi lebih suka bekerja dengan pelakon berkualiti.
BUKAN cerewet, tapi lebih suka bekerja dengan pelakon berkualiti.

Rancang tambah anak

Bercerita mengenai anak, Ezzaty berkata, melihatkan Harum kini sudah berusia dua tahun, dia mempunyai perancangan untuk menambah bilangan ahli keluarga sekiranya ada rezeki.

“Keinginan itu ada, tapi kalau melihatkan jadual saya yang padat, rasanya ia sukar. Tapi tak tahulah kalau Allah bagi rezeki. Sebelum ini pun, saya berehat seminggu daripada aktiviti lakonan dan selepas itu barulah mengandungkan Harum.

“Jadi, saya kena berehat buat sementara waktu dan tak boleh penat sekiranya mahu mengandung lagi. Namun walaupun penat, saya seronok dapat jaga anak depan mata,” katanya.

Sebagai persediaan masa depan terutama terhadap anaknya, Ezzaty dan Azwan menceburi bidang perniagaan dengan menghasilkan produk kosmetik Vermillion Essense Mist.

Perniagaan mereka seterusnya berkembang kepada Harum Ashrisz Spa khusus untuk wanita yang dibuka di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Mereka juga bakal membuka dua cawangan baharu iaitu di Puncak Alam dan Rawang pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 6:00 AM