PENULIS bersama kanak-kanak pelarian yang mendapat pendidikan di Kem Muhemediya.
PENULIS bersama kanak-kanak pelarian yang mendapat pendidikan di Kem Muhemediya.
Muhaamad Hafis Nawawi


PELUANG kali kedua memasuki negara bergolak ini selepas kali pertama melihat kemusnahan di Aleppo tiga tahun lalu menjadi satu pengalaman yang amat bermakna.

Lebih-lebih lagi bukan semua berpeluang merasai pengalaman berada di kem pelarian dan melihat dengan mata sendiri bagaimana mereka mengharungi kehidupan yang tersepit sebagai mangsa konflik peperangan.

Penulis hanya mampu mengangkat tangan bagi memanjat kesyukuran apabila berjaya memasuki Syria buat kali kedua untuk menyelami kesengsaraan pelarian yang bukan sahaja hilang tempat tinggal malah harta benda dan ahli keluarga.

Sebaik dibenarkan masuk, Sukarelawan Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) terus menuju ke Kem Muhemediya yang dikendalikan kerajaan Turki.

Ketika berada di dalam van, penulis tidak berasa sejuk kerana menggunakan alat pemanas namun sebaik melangkah keluar apabila tiba di kem pelarian itu, badan terus menggigil kesejukan walaupun menyarung baju sejuk.

Suhu sekitar 5 darjah Celsius membuatkan penulis menahan kesejukan dan mula terdetik bagaimana pelarian mengharungi kehidupan mereka sepanjang musim sejuk dalam serba kekurangan.

SUKARELAWAN menyerahkan roti kepada kanak-kanak pelarian.
SUKARELAWAN menyerahkan roti kepada kanak-kanak pelarian.

Melihat kehidupan mereka, penulis anggap pelarian tabah menghadapi dugaan ini, malah masih mampu tersenyum menyambut kehadiran kami walaupun jiwa mereka sengsara selain terpaksa tinggal di dalam khemah yang kecil dan tidak selesa.

Seorang peniaga manisan yang juga pelarian Syria sempat memberi manisannya kepada kami sebagai tanda mereka mengalu-alukan kedatangan tetamu.

Penulis lihat kem yang menempatkan 3,000 pelarian itu berada dalam serba kekurangan namun dibina seperti sebuah perkampungan yang dilengkapi klinik, sekolah, kedai runcit dan kedai kecil dibina menjual minyak petrol.

Malah turut dibina padang permainan bagi kanak-kanak mengisi masa mereka bermain di sini.

Seorang pelarian, Yahya Hassan Bakar, 46, berasal dari pinggiran Damsyik berkata, dia sudah dua tahun tinggal di kem itu bersama rakan lain selepas kampung halamannya diserang tentera Russia.

Menurutnya, akibat serangan itu, dia buta mata kanan akibat terkena serpihan bom.

“Dulu saya berniaga barang antik namun terpaksa menyelamatkan diri dan tinggal di kem ini selepas kejadian itu. Khemah kecil berukuran empat meter inilah kini menjadi kediaman saya,” katanya.

Yahya berkata, dia bersyukur walaupun tinggal dalam keadaan serba kekurangan namun masih dapat meneruskan kehidupan.

“Bukan tidak ada rumah kosong di luar sana yang ditinggalkan pemiliknya namun saya tidak mahu kerana itu bukan hak kami dan lebih elok tinggal di sini,” katanya.

Penulis yang berkesempatan masuk melihat sendiri khemah itu berasa sayu apabila ia hanya dilengkapi tilam dan selimut sementara di tengah-tengahnya diletakkan alat pemanas.

Yahya turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Muslim Care dan rakyat Malaysia atas sumbangan roti dan bekalan air bersih buat mereka di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 6:10 AM