AURA penghibur mereka sangat mengagumkan.
AURA penghibur mereka sangat mengagumkan.
Georgie Joseph

BERGELAR artis di Korea Selatan menuntut konsistensi yang berterusan. Tiada lain formula yang perlu diguna pakai selain terus bekerja keras dalam memacu kerjaya ke tahap lebih jauh.

Itu yang diperlihatkan kumpulan WINNER dianggotai Jinwoo, Seunghoon, Mino dan Seungyoon. Empat jejaka berkenaan tidak pernah berputus asa meletakkan nama mereka di peta dunia.

Keutamaan mereka hanya untuk menjadi penghibur yang berkaliber dan sentiasa terbaik di mata peminat. Apa yang pasti, mereka akan terus berusaha demi mencapai misi bergelar penghibur disegani.

“Kami akan terus bekerja keras tanpa rasa lelah. Ini adalah kemahuan kami dan menghibur menjadi perkara yang paling dicintai.

“Kami akan terus berganding bahu untuk memastikan apa jua yang diusahakan berakhir indah,” kata ketua kumpulan, Seungyoon ketika berkunjung ke Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bergerak secara berkumpulan pastinya bukan mudah apalagi masing-masing semestinya memiliki perspektif hidup berbeza. Hal itu diakui WINNER namun mereka tidak pernah menjadikan perbezaan sebagai halangan untuk bersatu.

“Masing-masing ada perbezaan, tapi kami akan bersatu setiap kali membabitkan hal kerja. Bagi kami, kesepakatan itu adalah yang menguatkan lagi hubungan.

“Paling seronok apabila setiap kali menjayakan acara yang membabitkan peminat. Apabila melihat peminat dan kesungguhan mereka menyokong kami, sekali gus menaikkan semangat untuk terus bekerja keras,” tambah Seungyoon.

WINNER tunjuk kerja keras menerusi persembahan.
WINNER tunjuk kerja keras menerusi persembahan.

Kumpulan itu hadir ke Malaysia bagi menjayakan konsert solo mereka WINNER Cross Tour in Kuala Lumpur yang dianjurkan iMe Entertainment Group Asia. Lebih 4,500 peminat hadir menyaksikan kumpulan kesayangan mereka itu.

Seperti dijangka, kumpulan itu tidak pernah mengecewakan di pentas. Dalam konsert berdurasi lebih dua jam itu, WINNER tidak mensia-siakan satu saat pun dengan persembahan bertenaga mereka.

Pernah bertandang beberapa kali ke Malaysia sebelum ini, jelas ketara banyak peningkatan dari segi persembahan kumpulan itu. Aura penghibur nyata lebih terserlah dan persembahan mereka semula jadi.

Setiap lagu yang dipersembahkan, diberi perisa tersendiri dalam setiap nyanyian. Baik daripada segi koreografi tarian hingga bahagian permainan vokal yang mengagumkan.

Lebih menarik perhatian adalah gelagat ‘selamba’ mereka sambil menyuntik elemen nakal di atas pentas. Biarpun nampak bersahaja, tidak menggugat langsung kemantapan nyanyian dan keseluruhan persembahan.

Begitu juga ketika segmen solo, setiap anggotanya memberikan aksi luar biasa. Bahkan, mereka langsung tidak kekok beraksi sendiri dan tampil lincah menakluk pentas dengan tenaga hebat.

Tidak hairan apabila setiap persembahan mereka disambut dengan sorakan gemuruh yang berterusan daripada penonton. Sesungguhnya, mereka berjaya memberikan kepuasan berbaloi buat semua yang hadir.

Turut menggamatkan suasana adalah segmen bebas mereka menyanyikan lagu rap menggunakan perkataan bahasa Malaysia. Penonton ternyata gagal untuk tidak jatuh cinta dengan kesungguhan kumpulan itu.

Dari segi teknikal konsert, produksi yang dipertanggungjawabkan menggalas tugas dengan cemerlang. Biarpun pentasnya tidak gah, namun permainan pencahayaan dan prop begitu sempurna.

Begitu juga dengan persalinan mereka yang diatur dengan baik sekali. Terkenal dengan keunikan tersendiri, karakter setiap anggota lebih menyerlah berdasarkan pemilihan cara penampilan mereka.

Pujian perlu diberikan kepada WINNER terhadap kesungguhan mereka memberikan aksi yang terbaik. Jelas mereka bersungguh-sungguh untuk memastikan penonton pulang dengan senyuman puas hati.

Pada konsert itu, kumpulan terbabit menyanyikan lebih 25 lagu termasuk Everyday, Love Me Love Me, Island, Really Really, Different, Have A Good Day, Raining, OMG, Empty, Flamenco, Serenade, Call Anytime, Instinctively dan Wind.

Tidak ketinggalan, lagu I’m Him, Trigger, Fiance, Boom, Movie Star, So So, Don’t Be Shy, Millions, Ah Yea, Immature, La La, Hello, Zoo, dan medley Really Really, La La serta Everyday.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 6:00 AM
Digital NSTP Subscribe