MOHD Bukhari menjaga Muhammad Fawwaz di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak HKL sejak 17 Disember lalu.
Redzuan Muharam

“SAYA rindu mendengar dia memanggil abah, tetapi keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

“Kini Fawwaz tidak mampu bercakap dan hanya merengek jika mahukan sesuatu,” kata Mohd Bukhari Zainal Annuar, 34.

Mohd Bukhari memberi reaksi itu ketika ditanya keadaan terkini anaknya, Muhammad Fawwaz Adli, 6, yang parah di kepala selepas dihempap peti ais pada 12 Julai tahun lalu.

Kejadian itu berlaku di rumah mereka di Taman Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan dan kini Fawwaz menerima rawatan di wad Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Mohd Bukhari, anak sulungnya dimasukkan ke HKL sejak 17 Disember lalu dan masih menunggu tarikh menjalani pembedahan susulan VP Shunt untuk memasukkan saluran tiub dari kepala ke perut.

“Fawwaz pernah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban lima bulan.

“Dia sering keluar masuk hospital sepanjang tempoh itu dan paling lama berada di wad dua bulan sebelum dimasukkan ke HKL.

“Setakat ini, Fawwaz menjalani sembilan pembedahan di kepala dan menurut doktor ada lagi pembedahan cuma belum ada tarikh kerana perlu menunggu keadaannya stabil,” katanya di HKL, semalam.

Mohd Bukhari berkata, selain tidak dapat bertutur dan berjalan, kedua-dua kaki anaknya juga bengkok selepas demam sawan seminggu selepas kejadian.

Katanya, doktor menjangkakan keadaan anaknya kekal, tetapi dia masih menaruh harapan melihat Fawwaz kembali normal.

FAWWAZ ketika dirawat di Negeri Sembilan.

“Saya membelanjakan ribuan ringgit untuk Fawwaz termasuk ikhtiar rawatan tradisional.

“Usaha itu dilakukan bagi melihatnya sihat, tetapi buat masa ini saya bergantung sepenuhnya dengan rawatan hospital.

“Kos pembedahan susulan (VP Shunt) perlu ditanggung sendiri dan itu belum termasuk bil rawatan harian,” katanya.

Mohd Bukhari berkata, buat masa ini, dia tidak dapat bekerja kerana perlu memberi perhatian kepada Muhammad Fawwaz di wad.

“Saya berniaga air balang di taman perumahan sekitar Nilai, Negeri Sembilan, tetapi tidak lagi bekerja sejak Julai tahun lalu.

“Sepanjang tempoh itu, saya yang menjaga Fawwaz di wad manakala isteri, Siti Khadijah Daud menetap di rumah mentua di Taman Gedung Lalang, Ampangan, Seremban, Negeri Sembilan bersama dua anak.

“Setiap hujung minggu isteri datang melawat dan selebihnya kami berhubung menerusi panggilan telefon atau kiriman WhatsApp,” katanya.

Berita berkaitan

Fawwaz mungkin sembuh tiga tahun lagi

'Bangunlah Fawwaz...'

Kanak-kanak parah ditimpa peti ais

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 7:59 AM