MOHAMED Zaini (kanan) dan Jamalullail dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Oleh Mohamed Farid Noh


BEKAS pengarah dan pengarah eksekutif sebuah syarikat penyelenggaraan projek jalan kampung mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas sembilan pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM2.82 juta, dua tahun lalu.

Datuk Mohamed Zaini Amran, 64, bekas Pengarah Syarikat Infra Desa Johor (IDJ) Sdn Bhd dan Jamalullail Md Sapie, 47, Pengarah Eksekutif IDJ, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mohamed Zaini, turut berdepan sembilan lagi pertuduhan individu membabitkan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM2.82 juta.

Bagi pertuduhan pertama hingga kesembilan, Mohamed Zaini dan Jamalullail dituduh secara bersama-sama dengan curangnya menyalahgunakan keseluruhan wang berjumlah RM2.82 juta dengan memindahkannya daripada akaun bank Infra Desa Johor ke akaun bank lima syarikat yang lain.

Kesalahan berkenaan dilakukan kedua tertuduh di sebuah bank di Taman Perling di sini, pada 11 dan 13 April 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohamed Zaini turut dituduh dengan sembilan pertuduhan individu kerana menggunakan harta milik syarikat iaitu cek Infra Desa Johor dengan memindahkan cek berkenaan daripada akaun bank Infra Desa Johor ke akaun bank milik lima syarikat lain dengan nilai RM2.82 juta, tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat untuk keuntungan dirinya sendiri dan mana-mana orang lain.

Kesalahan berkenaan dilakukannya di sebuah bank yang sama dan tarikh yang sama.

Mohamed Zaini didakwa mengikut Seksyen 218(1)(a) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 218(2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Mukhzany Fariz Mokhtar. Mohamed Zaini diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim manakala Jamilullail diwakili peguam Sukhaimi Mashud.

Mahkamah kemudian memerintahkan Mohamed Zaini dikenakan jaminan sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin terhadap 18 pertuduhan dihadapinya selain menyerahkan pasport kepada mahkamah manakala Jamilullail dikenakan RM200,000 dengan seorang penjamin terhadap sembilan pertuduhan dihadapinya dengan pasportnya perlu diserah kepada mahkamah.

Hakim menetapkan 1 Mac depan untuk sebutan kedua kes dan membenarkan kedua-dua tertuduh tiada halangan ke luar negara walaupun pasport diserah kepada mahkamah.

Syarikat IDJ bertanggungjawab menyelenggara projek jalan kampung di bawah kerajaan Johor dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) yang juga pemegang saham sebanyak 40 peratus dalam syarikat berkenaan.

Tindakan pecah amanah yang dilakukan kedua tertuduh menyebabkan kerajaan Johor dan KPRJ mendakwa mengalami kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 7:01 AM