Aida Adilah Mat


HUKUMAN mandatori selama empat tahun dijatuhkan kepada atlet olahraga berusia 18 tahun yang didapati positif doping di Kejohanan Tertutup Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tahun lalu.

Presiden KOM, Datuk SM Muthu memaklumkan perkara itu pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa doping KOM di Kuala Lumpur, hari ini.

Muthu berkata, hukuman empat tahun terhadap Muhammad Syazrul Adli Saiful Adli itu adalah mengikut peraturan yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA) selepas Syazrul tidak dapat menimbulkan keraguan wujudnya orang ketiga yang terbabit ketika dia mengambil bahan terlarang itu.

“Siasatan terperinci sudah dijalankan dan mengambil kira dari setiap aspek. Memang atlet itu bersalah kerana mengambil methasterone dan oxymetholone dan tindakan diambil berdasarkan kesalahan yang dia lakukan.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

“Dia gagal untuk membuktikan faktor luaran penyebab utama dia mengambil bahan itu malah mengakui bahawa dia tidak tahu bagaimana dia mengambil bahan berkenaan.

“Ketika sesi pendengaran berlangsung, dia berkata dia mengambil makanan tambahan untuk menambah tenaga selama dua tahun lalu yang diberi oleh kawannya dan disebabkan itu tiada tindakan dijatuhkan kepada jurulatihnya (Mohd Poad Md Kassim) yang turut dipanggil untuk disiasat,” katanya.

Awal bulan lalu seorang atlet remaja lelaki yang beraksi dalam acara 4x100 meter di Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia Ogos tahun lalu didapati positif doping selepas menggunakan dua bahan terlarang jenis iaitu methasterone dan oxymetholone iaitu sejenis steriod anabolic yang mampu untuk merangsang peningkatan prestasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 12:09 PM
Digital NSTP Subscribe