ARTIFAK bersejarah perlu melalui proses konservasi supaya ia terpelihara.
ARTIFAK bersejarah perlu melalui proses konservasi supaya ia terpelihara.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SEJAK tujuh tahun lalu, Ahmad Shahir Md Daud menghabiskan masanya dengan melakukan kerja konservasi membabitkan pelbagai artifak bersejarah.

Sehingga kini, Konservator Makmal Konservasi Jabatan Muzium Malaysia (JMM) itu melakukan kerja pemulihan terhadap 1,000 artifak.

Konservasi dibuat bagi memastikan artifak berkaitan berada dalam keadaan baik dan terpelihara.

“Kerja konservasi ini memerlukan ketelitian dan kesabaran kerana prosesnya berbeza mengikut keadaan atau kerosakan artifak.

“Tempoh paling singkat menyiapkan satu artifak ialah tiga hari dan boleh menjangkau sebulan sekiranya membabitkan kerosakan teruk.

PUTIK kapas digunakan dengan teliti untuk membersihkan artifak.
PUTIK kapas digunakan dengan teliti untuk membersihkan artifak.

“Empat proses konservasi perlu dilalui iaitu pemeriksaan keadaan, rawatan, cucian dan penyimpanan,” katanya.

Menurut beliau, pemeriksaan keadaan dibuat bagi mengenal pasti bahan buatan artifak, jenis kerosakan dan baik pulih yang boleh dilakukan terhadapnya.

Rawatan pula membabitkan pembersihan debu atau penyakit gangsa (kakisan klorida daripada artifak tembaga) pada artifak.

“Bahan kimia seperti pembersih permukaan digunakan pada artifak logam berdepan penyakit gangsa.

ARTIFAK organik iaitu kasut  disimpan dalam kotak bagi mengekalkan keasliannya.
ARTIFAK organik iaitu kasut disimpan dalam kotak bagi mengekalkan keasliannya.

“Ketika proses rawatan ini, hanya peralatan daripada bahan lembut seperti putik kapas dan lidi digunakan untuk mengelak kerosakan lebih teruk,” katanya.

Menurut Ahmad Shahir, proses ketiga ialah cucian pada artifak dengan menggunakan bahan kimia ketika rawatan.

“Pada peringkat ini juga, artifak akan disapu dengan lilin pengilat berfungsi sebagai pelindung logam,” katanya.

BAHAN pencuci dan penggilap digunakan untuk  membaik pulih artifak  bukan organik.
BAHAN pencuci dan penggilap digunakan untuk membaik pulih artifak bukan organik.

Beliau berkata, proses terakhir ialah penyimpanan apabila setiap artifak ditempatkan dalam kotak mengikut saiznya sebelum disimpan dalam Stor Repositori JMM.

“Tahap suhu ditetapkan dalam stor ini ialah antara 18 hingga 22 darjah celsius dengan kadar kelembapan relatif maksimum 55 peratus.

“Dianggarkan 5,000 hingga 10,000 artifak disimpan dalam stor ini dan yang paling lama berusia lebih 1,000 tahun,” katanya.

AHMAD Shahir  membaik pulih patung kecil  diperbuat daripada tembaga.
AHMAD Shahir membaik pulih patung kecil diperbuat daripada tembaga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 6:30 AM