Laporan portal Harian Metro sebelum ini
Muhaamad Hafis Nawawi

“ALHAMDULILLAH, hajat ibu untuk ‘pergi’ pada hari Jumaat termakbul,” kata Mohd Haziq Mustaffa, 21, anak kepada Husna Devi Abdullah.

Husna Devi yang menderita kanser tahap empat sebelum ini tular di media sosial apabila terpaksa diusung ke pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan proses pengeluaran caruman miliknya.

Wanita berkenaan menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 56 tahun di kediamannya di Austin Resident, Johor Bahru pada 5.45 pagi di sisi tiga anaknya.

Mohd Haziq berkata, sehari sebelum ibunya meninggal dunia, wanita itu ada memegang tangannya dan menyatakan kebimbangan jika dia ‘pergi’ meninggalkan anak-anak.

Menurutnya, ibunya juga ada beritahu matanya sudah tidak nampak menyebabkan dirinya sedih.

“Saya sempat memberi kata-kata semangat apabila Allah bagi ibu sakit ni...ibu saja yang boleh tahan kalau adik (Mohd Haziq) yang kena belum tentu dapat tahan kesakitan itu.

“Ketika saya menyanyi lagu kegemarannya dengan lirik itu ada kaitan kehidupan ibu pasti dia akan menangis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, ibu pernah beritahu jika boleh dia ingin meluangkan masa dengan anak-anak dan melihat dia dan kakak-kakaknya berkahwin.

“Alhamdulillah urusan pengebumian arwah ibu berjalan lancar semalam tanpa sebarang halangan di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin,” katanya.

Pada 22 Disember lalu, Harian Metro melaporkan kisah wanita itu berdepan pengalaman luar biasa apabila terpaksa diusung ke pejabat KWSP bagi tujuan proses pengeluaran caruman miliknya.

Kejadian menimpa wanita itu menarik perhatian netizen selepas isu berkenaan dikongsi oleh adik perempuannya, Nur Sheila.

Berikutan itu, KWSP memohon maaf dan kesal terhadap kejadian berkenaan.

Berita berkaitan:

  • KWSP mohon maaf
  • 'Kami sedia maafkan mereka'
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 3:42 PM