Safeek Affendy Razali


POLIS menahan dua lelaki selepas video mereka menyerang seorang pemandu bas pelancong di Gelang Patah, Johor tular menerusi media sosial hari ini.

BH Online melaporkan dalam kejadian yang berlaku 1.45 petang semalam, seorang suspek dirakam memukul, menumbuk dan menendang pemandu bas berkenaan berulang kali, walaupun mangsa berulang kali merayu supaya mereka tidak meneruskan perbuatan itu.

Serangan terbabit dipercayai dirakam seorang penumpang, selepas bas berkenaan terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda dinaiki dua lelaki itu itu di persimpangan lampu isyarat Jalan Gelang Patah-Pendas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku selepas mangsa terbabit dalam kemalangan dengan pacuan empat roda dinaiki dua suspek berusia 34 dan 38 tahun terbabit.

“Akibat dari pelanggaran itu, mangsa kemudian keluar dari bas untuk melihat keadaan kenderaan suspek sebelum dia secara tiba-tiba dipukul dan ditumbuk oleh seorang daripada dua lelaki berkenaan sehingga berterusan ke dalam bas.

“Selain membelasah mangsa hingga menyebabkan kecederaan pada kepala dan tangannya, suspek turut dikesan merosakkan peralatan dalam bas sebelum kejadian itu dileraikan orang awam yang berada di lokasi,” katanya kepada BH sebentar tadi.

Kamarudin berkata, sebuah kereta peronda polis yang tiba di lokasi kejadian kemudian mengarahkan mangsa dan dua lelaki terbabit membuat laporan di Balai Polis Trafik berhampiran.

“Ketika di pejabat pertanyaan Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, seorang daripada suspek didapati berkelakuan tidak senonoh dan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman, selain turut menghempas kerusi.

“Pada masa sama, kedua-dua mereka juga turut bertindak agresif sehingga memaksa pihak polis menggunakan kekerasan minimum bagi untuk melakukan tangkapan,” katanya.

Katanya, tindakan agresif dua suspek berkenaan tidak berakhir di situ, malah mereka kemudian menyerang dan memukul anggota pengawal lokap hingga berlaku pergelutan.

Kamarudin berkata, susulan kejadian itu, polis menahan reman dua suspek berkenaan yang kini disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan kekerasan ke atas penjawat awam; Seksyen 90 Akta Polis kerana berkelakuan tidak senonoh dalam balai polis; dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 323 kanun sama kerana menyebabkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 9:15 PM
RAKAMAN video suspek menendang pemandu bas pelancong. FOTO tular
RAKAMAN video suspek menendang pemandu bas pelancong. FOTO tular
Digital NSTP Subscribe