AWANIS (dua dari kanan) aktif sertai pelbagai program kesukarelawanan sejak menuntut di UPM.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


SENTIASA berpegang dengan prinsip tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima membuatkan Awanis Zakaria, 25, sanggup mengorbankan masa membantu insan memerlukan.

Ditambah pula, pengalaman hidup di pedalaman Sabah sejak kecil membuka mata Awanis bahawa masih ada masyarakat yang hidup daif.

Awanis berkata, dia berasal dari Ipoh, Perak, tetapi menetap bersama keluarganya di Sabah dan melihat sendiri kehidupan mereka yang serba kekurangan.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan itu berkata, dia mula terbabit dalam dunia sukarelawan sebaik menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM), kira-kira tujuh tahun lalu.

“Sejak itu, saya bergerak aktif dan mengikuti rakan menyertai pelbagai program kesukarelawanan yang diadakan oleh pihak universiti. Disebabkan bidang ini sangat dekat dengan diri, saya tidak janggal.

“Rakan-rakan sewaktu sekolah dan komuniti di kawasan pedalaman Sabah memberi inspirasi kepada saya untuk berbakti dalam bidang ini.

“Saya semakin komited dalam bidang ini sewaktu menyambung pengajian di peringkat ijazah apabila bertemu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM),” katanya dihubungi Harian Metro.

Menurut Awanis, sejak itu, dia mula mencari peluang untuk bersama-sama menyumbang bakti sebagai sukarelawan dengan lebih serius.

Dia kemudian menyertai Program Kepimpinan Kesukarelawanan Belia Antarabangsa (MyCorps) di bawah Kementerian Belia dan Sukan pada Disember lalu untuk lebih aktif membantu insan memerlukan.

“Saya rasa seronok dapat memberi balik kepada masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Melalui MyCorps, bukan saja di negara ini, saya turut berpeluang melakukan pelbagai aktiviti sukarelawan di negara luar,” katanya yang akan menyertai misi MyCorps ke Nepal bermula Isnin ini.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata, 41 anak muda terpilih untuk menyertai MyCorps Siri 8 yang bermula 23 Disember lalu sehingga 22 Mac depan.

Katanya, sukarelawan terbabit akan dihantar ke lapan lokasi di tiga negara iaitu Rajasthan, Odisha dan Madhya Pradesh di India; Kailali dan Parsa di Nepal serta Kurigram, Shariatpur dan Barisal di Bangladesh.

“Di negara itu nanti, mereka akan melaksanakan projek air bertujuan mengurangkan isu dan permasalahan air yang tidak sesuai diminum oleh komuniti.

“Di kawasan berkenaan, penduduk masih tidak mempunyai kemudahan tandas dan pam air tangan juga tidak mencukupi untuk kegunaan mereka. Sukarelawan akan membina perigi, sistem penapisan dan saliran air untuk komuniti itu,” katanya.

Menurutnya, bagi menjalankan projek pembangunan komuniti itu, sukarelawan perlu mengumpul dana RM250,000 dan berharap masyarakat sudi menghulurkan sumbangan.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank International Youth Centre Foundation atas nama MCSA di 014132424724.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 7:01 AM