BERNAMA

SEJAK 10 Januari sehingga hari ini, setakat 12 tengah hari, jumlah kumulatif kes Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan koronavirus baharu (2019-nCoV) adalah 65 kes membabitkan 34 warga Malaysia, 30 warga China dan satu warga Jordan.

Daripada 65 kes PUI ini, satu kes positif koronavirus baharu, sementara 61 kes PUI adalah negatif (34 warga Malaysia, 26 warga China dan satu warga Jordan), manakala tiga lagi kes PUI (warga China) masih menunggu keputusan makmal.

Tiga orang kontak rapat dengan kes positif koronavirus baharu pertama di Singapura yang disahkan positif jangkitan wabak itu masih dirawat di wad isolasi dan dalam keadaan stabil.

Kesemua 17 kontak rapat kepada kes positif koronavirus baharu keempat disahkan negatif dan dilepaskan daripada menjalani Perintah Pemantauan dan Pengasingan. Sila klik di sini.

Kesiapsiagaan menghadapi koronavirus baharu di pintu masuk (PMA) negara

• Sejak 4 Januari, Kementerian Kesihatan (KKM) meningkatkan saringan ke atas semua pengembara (penumpang dan anak kapal) dari China di semua PMA negara sebagai langkah menghadapi koronavirus baharu.

Saringan ini dilakukan di semua PMA membabitkan lapangan terbang antarabangsa, pelabuhan serta pintu masuk darat di negara ini. Pada ketika ini terdapat 64 PMA di seluruh negara.

• Saringan terhadap pengembara yang tiba di PMA menggunapakai 3 pendekatan:

a) Saringan demam dengan menggunakan thermal scanner. Pada ketika ini terdapat 54 thermal scanner di beberapa PMA utama negara.

Mana-mana pengembara dikesan demam akan diperiksa oleh paramedik untuk mengesahkan demam. Sejarah perjalanan ke China dalam tempoh dua minggu sebelum tiba di Malaysia akan diperoleh.

Sekiranya pengembara yang memenuhi kriteria PUI akan dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut. Rujukan ke hospital akan menggunakan kenderaan ambulans khas dengan diiringi anggota terlatih yang memakai peralatan perlindungan diri bagi mengelakkan jangkitan.

Bagi pengembara yang tidak memenuhi kriteria PUI akan diberi Home Assessment Tool dan diletakkan di bawah Home Surveillance untuk tempoh 14 hari. Mereka yang didapati batuk tetapi tiada demam akan diberikan penutup hidung dan mulut (face mask) untuk mengelakkan penularan penyakit ini kepada umum.

Sementara itu pengembara yang tidak mempunyai sebarang gejala, akan diberikan Health Alert Card (HAC). Mereka dinasihatkan untuk rawatan segera sekiranya mempunyai demam, batuk atau susah bernafas dalam masa 14 hari dari ketibaan dan membawa bersama HAC semasa berjumpa dengan pegawai perubatan untuk mendapatkan rawatan.

b) Kerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk merujuk mana-mana pengembara dari China bagi pemeriksaan lanjut oleh anggota kesihatan di PMA.

c) KKM juga memasang gegantung (bunting) untuk memaklumkan dan menggalakkan mana-mana pengembara yang tiba dari China untuk tampil ke pusat pemeriksaan kesihatan di PMA (self declaration). Beberapa PMA melakukan pengumuman berkala bagi menasihati pengembara untuk tampil ke pusat pemeriksaan PMA bagi pemeriksaan.

d) Anggota KKM akan menjalankan pemeriksaan rawak dari semasa ke semasa ke atas warga Malaysia yang menggunakan autogate. KKM juga berharap warga Malaysia secara sukarela untuk tampil untuk pemeriksaan kesihatan di PMA.

• Pejabat Kesihatan Lapangan Terbang bekerjasama dengan Malaysia Airport Berhad dan pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia untuk mengalihkan semua kapal terbang dari China ke pintu (gate) yang dikenal pasti bagi mengelakkan percampuran antara penumpang dari China dan penumpang dari destinasi yang lain.

Saringan demam dengan menggunakan thermal scanner akan dilakukan di gate berkenaan. Mereka yang disyaki PUI akan terus dirujuk ke hospital melalui laluan khas yang dikenal pasti bagi mengelakkan pendedahan kepada penumpang lain.

• Di pelabuhan pula, semua kapal dari China akan diberikan status kuarantin sehingga anggota KKM menjalankan pemeriksaan ke atas kapal.

Aktiviti pemunggahan barang dan penurunan anak kapal dan penumpang akan dibenarkan sekiranya pemeriksaan mendapati semua penumpang dan anak kapal sihat serta dokumen-dokumen kebersihan kapal masih sah.

• Syarikat penerbangan diminta untuk mengenal pasti penumpang yang bergejala semasa dalam penerbangan. Sekiranya terdapat penumpang bergejala, anggota kesihatan di PMA akan dimaklumkan bagi menunggu ketibaan kapal terbang di gate tertentu.

Apabila kapal terbang tiba di gate yang dikenal pasti, pasukan kesihatan akan menaiki pesawat untuk mengendalikan kes berkenaan. Pengendalian penumpang lain adalah mengikut prosedur sedia ada.

Peranan penggiat industri pelancongan dalam membendung penularan jangkitan koronavirus baharu

• Agensi pelancongan diminta untuk memaklumkan kepada individu dan pelanggan yang ingin ke China mengenai situasi terkini kejadian wabak koronavirus baharu serta nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh KKM dari semasa ke semasa iaitu:

a) Menggesa orang ramai untuk mengelak melawat China sehingga dimaklumkan kelak.

b) Mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau menggunakan hand sanitizer.

c) Sekiranya lawatan ke Negara China tidak dapat dielakkan, semasa di sana:

• Elakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai dan tidak bergaul rapat dengan mana-mana individu yang bergejala;

• Elakkan melawat ladang haiwan, pasar yang menjual haiwan hidup, tempat sembelihan haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan;

• Elakkan memakan sebarang produk haiwan mentah/tidak dimasak dengan sempurna.

d) Segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya jatuh sakit (iaitu mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas) dalam tempoh 14 hari selepas pulang ke tanah air.

• Pengembara yang datang dari China perlu dimaklumkan keperluan mengisytiharkan status kesihatan sebelum tiba ke Malaysia. Selain itu prosedur keperluan menjalani perintah Pemantauan dan Pengasingan serta isolasi sekiranya bergejala perlu dijelaskan kepada pelanggan.

• Memperkasakan pihak agensi dan persatuan pelancongan untuk membuat saringan demam ke atas pengembara dan merujuk mereka ke fasiliti kesihatan terdekat untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

• Agensi pelancongan dan pengurusan fasiliti penginapan dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran, termasuk menjalankan disinfeksi.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 5:12 PM
    ORANG ramai memakai penutup muka dan hidung di KLIA2. FOTP Luqman Hakim Zubir
    ORANG ramai memakai penutup muka dan hidung di KLIA2. FOTP Luqman Hakim Zubir
    Kabinet Malaysia 2020