VIVY (kiri) diceraikan dengan talak tiga. FOTO Ammar & Vivy
VIVY (kiri) diceraikan dengan talak tiga. FOTO Ammar & Vivy

"SAYA reda dan pasrah apabila diceraikan dengan talak tiga," kata isteri kedua pelakon Amar Asyraf, Vivy Jeffry ketika mendedahkan pelakon itu sudah menceraikannya dengan talak tiga pada 4 November tahun lalu.

Vivy, bagaimanapun memohon supaya Amar tampil untuk menyelesaikan urusan perceraian mereka di mahkamah secepat mungkin apabila usaha menghubungi menemui jalan buntu kerana pelakon itu menyekat nombor telefonnya.

"Kalau boleh saya nak perkara ini diselesaikan dengan cara baik. Saya enggan bermusuh dengan sesiapa.

"Saya cuma mohon Amar tampil untuk uruskan proses perceraian ini kerana ia berlaku di luar mahkamah. Disebabkan dia gagal dihubungi, saya sudah tidak boleh berurusan dengannya lagi .

"Saya harap Amar janganlah aniaya saya sampai begini sekali. Permudahkanlah urusan ini agar proses perpisahan ini berjalan lancar," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Vivy lagi, dia tidak menyimpan dendam atau marah terhadap suaminya itu meskipun diceraikan dengan talak tiga.

"Ketika perceraian itu, dia ditemani seorang rakan ketika kami menguruskan hal surat beranak anak. Jujur tiada sekelumit dendam atau marah terhadapnya, kerana saya sudah pasrah dengan apa yang berlaku ini.

"Saya kini cuma mohon Amar tampil untuk menguruskan proses perceraian itu dengan segera supaya saya boleh teruskan kehidupan dengan anak seperti biasa.

"Jika diikutkan tempoh edah juga sudah hampir berakhir namun disebabkan hal yang berlaku ia tidak dapat disahkan oleh pihak mahkamah," katanya.

Terdahulu Vivy mendedahkan sudah berkahwin dengan pelakon itu beberapa tahun lalu.

Rahsia perkahwinan mereka akhirnya terbongkar menerusi pendedahan wanita bernama Ellika Azman yang didakwa hampir berkahwin dengan Amar, namun rancangan itu gagal selepas mengetahui pelakon berkenaan mempunyai seorang lagi isteri dan anak hasil perkahwinan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 5:43 PM
Digital NSTP Subscribe