PAPAN tanda pengangkutan awam di Seoul, Korea Selatan. FOTO ihsan Yanizah Yahya
PAPAN tanda pengangkutan awam di Seoul, Korea Selatan. FOTO ihsan Yanizah Yahya
Rosyahaida Abdullah


“SEJAK 2014 lagi saya sudah dengar ura-ura mengatakan Bahasa Malaysia akan digunakan pihak operator tren bawah tanah di Korea Selatan khususnya di Seoul.

“Tetapi khabar angin yang tersebar ketika itu adalah Bahasa Malaysia akan menjadi satu lagi bahasa untuk digunakan dalam pengumuman stesen berikutnya di dalam tren,” kata Yanizah Yahya, 48.

Yanizah baru-baru ini berkongsi gambar di akaun media sosialnya memaparkan papan tanda pengangkutan awam di Seoul, Korea Selatan.

Pada papan tanda itu, tertera maklumat arah keluar dari stesen tren serta lokasi pelancongan popular di Seoul dalam beberapa bahasa termasuk Bahasa Malaysia.

Hantaran Yanizah itu menjadi tular dengan rata-rata warganet menyatakan rasa bangga apabila Bahasa Malaysia diangkat di negara terbabit.

Yanizah berkata, khabar angin itu didengari ketika dia menetap di bandar raya terbabit pada 2013 hingga 2016 susulan suaminya menyambung pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di sana.

Ketika itu katanya, tidak dinafikan pelancong dari Malaysia cukup ramai sehinggakan dia sendiri menyediakan perkhidmatan penyediaan makanan kepada rakyat Malaysia yang datang secara berkumpulan.

“Pada waktu itu, melalui pelajar Malaysia di sana yang juga mencari duit poket dengan menjadi pemandu pelancong, saya dapat tahu mengenai khabar angin terbabit.

“Kami memang teruja malah bangga walaupun tidak pasti sejauh mana sahihnya cerita itu dan saya tertunggu-tunggu juga sehinggalah suami saya tamat belajar, ia tidak pun berlaku,” katanya.

Menurut Yanizah, selepas pulang semula ke tanah air, kini dia pula berkhidmat sebagai pemandu pelancong yang membawa rakyat Malaysia bercuti ke Korea Selatan.

PAPAN tanda yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai rujukan pelancong Malaysia. FOTO ihsan Yanizah Yahya
PAPAN tanda yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai rujukan pelancong Malaysia. FOTO ihsan Yanizah Yahya

Merujuk kepada gambar papan tanda yang tular itu, jelas Yanizah, dia berlepas ke Seoul membawa sekumpulan pelancong dari Malaysia akhir tahun lalu yang mahu menyambut tahun baru 2020 di bandar raya itu.

“Kami sampai di sana beberapa hari sebelum tahun baru dan saya masih ingat papan tanda di tempat sama cuma mempunyai beberapa bahasa seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Korea dan Bahasa Cina, tiada Bahasa Malaysia.

“Bagaimanapun, selepas tahun baru, kami sekali lagi melintasi kawasan sama, saya nampak papan tanda itu kelihatan berbeza dan apabila saya tengok semula, rupa-rupanya sudah ada Bahasa Malaysia.

“Terkejut, bangga, semua ada. Mana tidaknya, sedangkan jiran negara kita pun tidak semuanya gunakan Bahasa Malaysia di tempat mereka.

“Mungkin juga ia dipasang pada malam tahun baru tetapi yang pasti, ia (Bahasa Malaysia) belum ada sewaktu saya tiba beberapa hari sebelum 2020,” katanya.

Susulan muat naik hantaran itu, kata Yanizah, antara komen yang menarik perhatiannya adalah seorang individu yang mengatakan kakitangan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dipercayai terbabit dalam kerja terjemahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 8:25 PM