PENGAWAL keselamatan dan sukarelawan memakai penutup mulut dan hidung untuk memeriksa orang awam yang disyaki memakai wabak koronavirus. FOTO AFP
PENGAWAL keselamatan dan sukarelawan memakai penutup mulut dan hidung untuk memeriksa orang awam yang disyaki memakai wabak koronavirus. FOTO AFP
AFP

BEIJING: Memilukan apabila budak yang juga orang kurang upaya (OKU) di China meninggal dunia seorang diri di rumah, selepas bapanya dikuarantin di tempat lain akibat wabak koronavirus.

Yan Cheng, yang mengalami Cerebral Palsy (CP) terpaksa tinggal berseorangan di rumah, selepas bapanya diarah menjalani kuarantin.

Budak 17 tahun yang bergerak dengan bantuan kerusi roda itu tidak mampu bercakap atau makan dengan sendiri.

Sebelum ini, dia hanya bergantung kepada bapanya selepas ibu meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Bapa budak itu, Yan Xiaowen, dibawa ke tempat kuarantin pada 22 Januari lalu dan disahkan dijangkiti virus berkenaan, lima hari kemudian.

Xiowen sebelum memuat naik hantaran di media sosial bagi merayu kepada individu yang sanggup untuk menjaga anaknya itu.

Bagaimanapun, hantaran itu agak terlambat selepas anaknya disahkan meninggal dunia pada 29 Januari.

Berdasarkan kenyataan pihak berkuasa Hongan, Xiaowen sudah memberi tanggungjawab menjaga anaknya kepada saudara, penduduk dan doktor di kampung.

Kejadian itu menyebabkan pemimpin tempatan dipecat daripada jawatan.

Pihak berkuasa tempatan berkata, ia berikutan setiausaha tempatan Parti Komunis dan datuk bandar gagal menjalankan tugas.

Bagaimanapun, punca kematian mangsa masih belum diketahui.

Laporan berhubung kematian mangsa menimbulkan kemarahan netizen di media sosial, selepas pihak berkuasa di Hubei dikritik kerana menyembunyikan maklumat wabak berkenaan.

Di platform Weibo, tanda pagar “bapa kepada budak Cerebral Palsy (CP) bersuara” sudah dibaca 270 juta, sejak pagi Selasa lalu.

Tanda pagar mengenai datuk bandar dipecat pula dilihat 66 juta kali.

Kebanyakan kes jangkitan dan kematian dilaporkan di Hubei, di mana virus itu dikatakan bermula dari pasar menjual daging hidupan liar.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 2:35 PM
    Digital NSTP Subscribe