SOLOZ bergambar disamping Ford Mustang. FOTO Instagram solozsoloz.
SOLOZ bergambar disamping Ford Mustang. FOTO Instagram solozsoloz.
Syazwan Msar


KERJAYA sebagai atlet e-sukan semakin popular dalam kalangan belia apabila menjanjikan masa depan cerah dan sumber pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.

Malah, menerusi siaran langsung yang dilakukan atlet e-sukan berkenaan melalui platform media sosial dan Youtube berjaya menarik tontotan ratusan ribu pelayar sekali gus memberi sumber pendapatan secara konsisten kepada mereka.

Terbaru, tular atlet profesional Mobile Legends Mohd Faris Zakaria atau Soloz mengunjungi pusat pameran kenderaan mewah di Bangsar untuk melihat kereta idaman golongan muda iaitu Ford Mustang.

Menerusi Instagram, atlet Sukan SEA negara itu dirakam bergambar bersama kenderaan berharga lebih setengah juta ringgit.

Namun, yang menarik minat netizen adalah cara berpakaian atlet berusia 27 tahun itu yang begitu bersahaja dengan hanya mengenakan selipar ketika mengunjungi pusat pameran terbabit.

Sementara itu, Pengurus Soloz, Nureddy Norsal ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berkaitan perkara terbabit sama ada kereta mewah itu dibeli atau ditaja pihak tertentu.

“Kami ke bilik pameran terbabit petang semalam atas jemputan pihak tertentu untuk melihat kereta berkenaan secara lebih dekat lagi.

“Setakat ini, kami tidak boleh mengesahkan kenderaan terbabit ditaja atau dibeli oleh Soloz kerana ada beberapa perkara harus dibincangkan lagi,” katanya.

Selain itu, difahamkan, pendapatan yang diraih Soloz menerusi pembabitan sebagai atlet e-sukan dan pemain profesional Mobile Legends tidak memberi masalah kepadanya untuk membeli atau membayar bulanan kenderaan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Februari 2020 @ 7:00 PM