ROSMAH  tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
ROSMAH tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.
BERNAMA

BEKAS Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu Mahkamah Tinggi semalam bahawa beliau tidak mempunyai keraguan bahawa Datin Seri Rosmah Mansor terlibat menolong Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin mendapatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan.

Mahdzir, 59, berkata, isteri bekas perdana menteri itu ada menghubunginya berkenaan projek tersebut pada 22 Disember 2016.

“Saya ingat lagi apabila menjawab panggilan berkenaan, Datin Seri Rosmah terus memberitahu saya bahawa beliau tidak kenal siapa Rayyan (Rayyan Radzwill Abdullah iaitu rakan perniagaan Saidi). Beliau juga memberitahu saya bahawa beliau hanya menolong Cikgu Aazmey (Datuk Aazmey Abu Talib iaitu Setiausaha Umno Bahagian Pekan, Pahang dan juga bekas Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Pahang).

“Datin Seri Rosmah juga memberitahu saya untuk menuruti sahaja arahan minit-minit Datuk Seri Najib Tun Razak (bekas perdana menteri) dan beliau tidak mahu saya melengah-lengahkan urusan projek solar hibrid. Saya sekadar menjawab lebih kurang, ‘Ya, ya Datin Seri’ sahaja.

“Saya tidak mempunyai keraguan bahawa Datin Seri Rosmah terlibat menolong Saidi mendapatkan projek solar hibrid,” katanya pada hari ketiga perbicaraan kes rasuah yang dihadapi Rosmah berhubung projek solar itu.

Membacakan penyataan saksinya, Mahdzir berkata, beliau turut bersetuju mengeluarkan satu klausa dalam Surat Setuju Terima (SST) berhubung projek solar hibrid berkenaan selepas menerima panggilan daripada bekas pembantu Rosmah Datuk Rizal Mansor bagi pihak Rosmah pada 10 November 2016.

Menurut saksi pendakwaan kelima itu, klausa tersebut berkenaan hak Kementerian Pendidikan menamatkan kontrak dan mengurangkan bilangan sekolah untuk pelaksanaan projek solar hibrid sekiranya ada sekolah yang telah disambung ke talian grid elektrik.

“Pada awalnya saya tidak mahu mengeluarkan klausa tersebut kerana ia merupakan keputusan Kementerian Pendidikan dan saya pasti ia mengikut keperluan projek tersebut. Rayyan tidak puas hati dan memberitahu saya lebih kurang ‘Takkan benda ini nak sampaikan kepada Datuk Seri Najib lagi’.

“Kemudian Rayyan telah menghubungi seseorang dan menyerahkan telefonnya kepada saya. Apabila saya menjawab panggilan telefon berkenaan, saya dapati orang tersebut adalah Datuk Rizal Mansor. Datuk Rizal Mansor telah memberitahu saya lebih kurang ‘kalau boleh keluarkan klausa itu’ dan ‘jangan buat susah perkara ini’.

“Datuk Rizal Mansor juga mengingatkan saya bahawa projek solar hibrid ini sudah dalam pengetahuan ‘Mem’ dan meminta saya mematuhi permintaan Jepak, saya tahu ‘Mem’ yang dimaksudkan oleh Datuk Rizal Mansor adalah Datin Seri Rosmah. Cara cakap Datuk Rizal Mansor tidaklah kasar cuma beliau menggunakan autoriti Datin Seri Rosmah,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani.

Mahdzir yang juga Naib Presiden UMNO, berkata beliau amat yakin Jepak tidak akan mampu membangunkan sistem solar photovoltaic bermula 1 Januari 2017, malah katanya, sehingga April 2018, Jepak masih belum membina sistem solar hibrid seperti yang dijanjikan.

Saksi itu berkata, sekitar Disember 2016, beliau mengarahkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad untuk membuat satu pelan cadangan iaitu membeli diesel untuk genset diesel melalui Pejabat Pendidikan Daerah di Sarawak berikutan beliau tidak yakin Jepak mampu membekalkan diesel dan menyelenggara genset diesel untuk 369 sekolah.

Menurutnya, Jepak langsung tidak mempunyai pengalaman untuk membekalkan perkhidmatan pada skala yang begitu besar dan tanpa pelan cadangan, 369 sekolah berkenaan mungkin akan bergelap menjelang 1 Januari 2017 apabila kontraktor sedia ada menamatkan perkhidmatan mereka.

Seterusnya, Mahdzir berkata pada Mei 2017, beliau telah menerima arahan lanjut daripada Najib untuk menurunkan kuasa menandatangani kontrak rasmi kepada Alias dan arahan berkenaan disampaikan melalui minit pada surat Jepak bertarikh 24 Mei 2017 yang diiringi dengan satu surat pejabat Perdana Menteri bertarikh 25 Mei 2017.

“Berdasarkan pemahaman saya ke atas surat Jepak bertarikh 24 Mei 2017, Jepak memohon Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi arahan kepada saya untuk menurunkan kuasa menandatangani kontrak rasmi bagi projek solar hibrid dengan Jepak kepada Datuk Seri Alias. Saya percaya Jepak membuat permohonan sedemikian kerana Jepak tidak mahu berurusan dengan saya.

“Selepas itu, saya menurunkan kuasa saya kepada Datuk Seri Alias untuk menandatangani kontrak rasmi dengan Jepak. Saya tidak terlibat dalam apa-apa urusan berkenaan penyediaan kontrak rasmi dan saya juga tidak tahu tarikh kontrak rasmi tersebut ditandatangani. Saidi sudah jarang menghubungi saya untuk proses memuktamadkan kontrak rasmi,” katanya.

Rosmah, 68, berdepan tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September, 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 7:10 AM