Balqis Jazimah Zahari


POLIS mengesahkan empat sekeluarga maut termasuk bayi dan wanita, manakala kanak-kanak lelaki parah dalam kemalangan kereta dirempuh treler muatan bahan binaan di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Salak Stesen di Sungai Siput, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, mangsa maut adalah pemandu, Mohamad Faiz Bakhri, 28, yang juga anggota polis berangkat Lans Koperal di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput.

Turut maut, isteri mangsa, Nik Idayu Nik Hasan, 30; anak bongsu mangsa, Mohammad Faqih Irshad Mohamad Faiz, 2, dan adik ipar kepada pemandu, Nik Ifieka Nik Hassan, 28.

Mangsa parah, anak sulung pasangan itu, Mohammad Fariz Iskandar Mohamad Faiz, 3.

Beliau berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada 10.20 malam sebelum anggota ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal kita mendapati treler yang dipandu dari Ipoh terbabas memasuki laluan bertentangan lalu merempuh sebuah kereta dari arah Kuala Kangsar. Ia tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi treler dan dihempap muatan yang dibawa treler terbabit.

KEADAAN treler yang terbalik dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan empat sekeluarga di KM 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Salak Stesyen. FOTO Balqis Jazimah Zahari

“Pemandu treler mengalami kecederaan ringan, manakala mangsa lain iaitu pemandu bersama tiga lagi penumpang meninggal di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sungai Siput di Sungai Siput, awal pagi hari ini.

Mohd Khaizam berkata, difahamkan, sebelum kejadian mangsa sekeluarga makan di sebuah gerai berhampiran tempat kejadian dan mereka dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Jarak tempat kejadian dengan gerai antara 400 ke 500 meter, ini bermakna mereka baru sahaja bergerak (dari gerai),” katanya.

Beliau berkata, anak sulung mangsa yang parah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemandu lori berusia 26 tahun ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Lima termasuk bayi maut kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 8:25 AM