Agensi

KEAJAIBAN berlaku kepada seorang lelaki buta di Poland apabila mampu melihat semula selepas mengalami kemalangan.

Menurut Oddity Central, Janusz Goraj buta selama 20 tahun sebelum penglihatannya sembuh selepas dilanggar kereta ketika melintas jalan.

Mata sebelah kiri lelaki dari bandar Gorzow Wielkopolski itu buta sepenuhnya. Dia hanya nampak cahaya dan bayang-bayang menerusi mata kanannya

Ia dikatakan akibat alahan.

Namun siapa sangka, pada 2018, keajaiban berlaku selepas dia kemalangan ketika melintas jalan.

Dalam kejadian itu, kepalanya terhentak pada bahagian penutup enjin sebuah kereta dan jatuh ke atas jalan tar.

Dia cedera pada pinggulnya dan memerlukan pembedahan.

Selepas kemalangan, Goraj dirawat di hospital selama dua minggu untuk penyembuhan luka pembedahan sebelum menyedari kembali dapat melihat.

Dia memberitahu perkembangan itu kepada doktor namun tiada penjelasan lanjut mengapa perkara itu terjadi.

“Sebaik saya bangun tidur, menakjubkan apabila saya boleh nampak sekeliling.

“Ia sesuatu yang menyeronokkan apabila saya boleh nampak orang di jalan dan nombor pendaftaran kereta selain boleh membaca teks di dalam telefon bimbit saya.

“Kehidupan saya berubah!”

Jurucakap Independent Public Provincial Hospital Agnieszka Wisniewska berkata, mata lelaki itu bertambah baik dalam masa dua minggu.

“Kami tidak tahu apa yang menyebabkannya (sembuh), mungkin campuran ubat semasa rawatan kemalangan itu membuatkannya dapat melihat semasa itu,” katanya kepada Polsat News.

Goraj menolak mengambil bahagian dalam kajian perubatan untuk membantu doktor mencari jawapan kepada penyembuhan matanya.

Lelaki terbabit menjalani kehidupan normal dan mendapat pekerjaan sebagai pengawal keselamatan di hospital, tempat dia dirawat.

Kes Goraj direkodkan pada 2018 namun hanya mendapat perhatian selepas kisahnya dipaparkan dalam berita utama di negara itu, akhir bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 6:01 AM