X
KEADAAN lokasi nahas yang menyebabkan seorang maut dirempuh pemandu mabuk di Lebuhraya Lekas, Seremban.
KEADAAN lokasi nahas yang menyebabkan seorang maut dirempuh pemandu mabuk di Lebuhraya Lekas, Seremban.
Mohd Amin Jalil


“ARWAH adik dalam perjalanan pulang untuk menemui isteri dan anaknya di kampung.

“Saya tidak sangka kepulangannya kali ini berakhir tragedi,” kata Mohd Rusdi Saad, 41 iaitu abang kepada Abdul Salam yang maut akibat dirempuh pemandu mabuk dan memandu melawan arus di KM17.5, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 pagi itu, Abdul Salam, 34, yang memandu kereta Proton Persona maut di tempat kejadian.

Mohd Rusdi berkata, sudah menjadi kebiasaan adiknya pulang ke kampung di Felda Keratong 5, Bandar Tun Razak, Pahang, setiap dua minggu untuk melawat keluarganya.

Menurutnya, adik bongsunya itu bekerja di sebuah syarikat kontena di pelabuhan Klang, Selangor sejak lebih setahun lalu.

Menurutnya, isteri dan dua anak arwah berusia dua dan empat tahun tinggal di Felda Keratong 5.

“Kebiasaannya adik akan pulang pada waktu petang tetapi kali ini tidak diketahui mengapa dia bertolak pada waktu awal pagi...mungkin kerana kesibukan bekerja.

“Saya terkejut apabila menerima berita dia terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kali terakhir saya menemuinya adalah ketika kami pulang ke kampung bercuti sempena Thaipusam baru-baru ini.

“Ketika itu tiada sebarang perilaku ganjil ditunjukkan adik,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ) di sini, semalam.

Mohd Rusdi berkata, dia mewakili ahli keluarga untuk menuntut jenazah arwah adiknya itu sebelum dibawa pulang ke kampung bagi pengebumian.

Sementara itu, rakan sekerja arwah Azim Zain, 40, berkata, kali terakhir dia bersama Abdul Salam adalah pada Khamis lalu ketika menjamu selera di sebuah gerai di Pelabuhan Klang.

Menurutnya, kebiasaannya arwah seorang yang periang dan ceria, tetapi pada hari berkenaan, dia kelihatan pendiam dan tidak banyak bercakap.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa tetapi tidak menyangka itu petanda dia akan pergi untuk selama-lamanya.

“Kami semua rasa terkejut dan sedih atas kehilangannya kerana arwah seorang yang periang dan sentiasa suka menolong orang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 7:20 AM
Digital NSTP Subscribe