Amir Abd Hamid


“MASYARAKAT perlu yakin yang kami terbukti bebas virus (wabak koronavirus 2019) Covid-19... Insya-Allah,” kata Irwan Rustang, 36.

Irwan adalah seorang daripada 102 rakyat Malaysia dikuarantin di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (Akept) di Nilai, yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, hari ini.

Baki lapan lagi rakyat Malaysia yang sudah selesai menjalani kuarantin di akademi itu akan dibenarkan pulang esok.

Mereka adalah 110 individu dibawa pulang dari Wuhan, China pada 4 Februari lalu berikutan penularan Covid-19.

Irwan berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah melaksanakan tiga kali saringan terhadap mereka yang dikuarantin.

Menurutnya, pada masa sama juga, setiap hari pihak KKM memantau keadaan terkini mereka.

“Semua keputusan adalah negatif atau tiada sebarang simptom Covid-19.

“Prosedur saringan ini sama seperti dilaksanakan di negara lain dan disahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Jadi masyarakat kena yakin dengan kami dan jangan bimbang,” katanya ketika ditemui di Akept, hari ini.

Irwan berkata, dia yang bekerja sebagai perancang projek di syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd di Wuhan, menetap di situ bersama isteri Nurul Farhana Md Sahal, 32, serta dua anak, Muhammad Irfan Irsyad, 4, dan Putri Insyirah Wafa, 3.

Beliau berkata, sepanjang tempoh krisis penularan wabak itu, dia bersama isteri dan anaknya tidak berhadapan masalah bekalan makanan walaupun kerajaan China memerintahkan lock down (menutup keluar masuk) di Wuhan dan wilayah Hubei bermula 23 Januari lalu.

IRWAN bersama isteri dan anaknya. FOTO Ihsan Irwan Mustang
IRWAN bersama isteri dan anaknya. FOTO Ihsan Irwan Mustang

Menurutnya, dia juga bersyukur kerana seorang lagi anaknya yang bongsu, Putri Inara Falisha berusia lapan bulan tidak dibawa ke Wuhan ketika itu dan dijaga ibunya di Keningau, Sabah.

Bercerita lanjut pengalaman di Wuhan, Irwan berkata, sebelum perisytiharan lock down dia memang sudah sediakan stok makanan.

“Sebab masa itu nak masuk musim perayaan Tahun Baharu Cina dan kedai tutup.

“Jadi tiada masalah bekalan makanan. Kemudian saya dihubungi pihak Kedutaan Malaysia di Beijing pada 27 Januari untuk pengemasan data sebelum dibawa pulang ke tanah air,” katanya.

Beliau berkata, dia sebenarnya sudah mengetahui lebih awal maklumat mengenai Covid-19 yang tersebar di Wuhan, namun tidak menyangka sehingga darurat.

Disebabkan itu, katanya, dia juga sudah membeli penutup mulut dan hidung lebih awal sebagai persediaan untuk keluarganya.

“Apa pun saya gembira hari ini dikeluarkan dari kuarantin.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada pihak pengurusan (Akept) yang menjaga kami, termasuk makan minum dan memuaskan keperluan kami. Empat kali makan dalam sehari.

“Sebenarnya, bukan mudah kerajaan nak bawa kami ke tanah air sebab Wuhan dan Hubei sudah lock down. Namun segala-galanya berjalan lancar,” katanya sambil menjelaskan semua mereka dikuarantin di Akept perlu memakai baju khas untuk prosedur.

Sepanjang di kuarantin di Akept, menurut Irwan, pihak pengurusan juga bukan sahaja menjaga mereka dan menyediakan makan minum, malah keperluan lain seperti susu anak dan lampin pakai buang serta pakaian.

SEBAHAGIAN rakyat Malaysia yang dibenarkan pulang selepas menjalani kuarantin selama dua minggu di Akept, Nilai. FOTO Ihsan Kementerian Kesihatan Malaysia
SEBAHAGIAN rakyat Malaysia yang dibenarkan pulang selepas menjalani kuarantin selama dua minggu di Akept, Nilai. FOTO Ihsan Kementerian Kesihatan Malaysia

Sementara itu, Pegawai Perubatan Penyelaras Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban, Dr Nur Adibah Shaharul berkata, setiap individu dikuarantin terbabit sudah menjalani ujian sampel sebanyak tiga kali sepanjang tempoh pengawasan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan Covid-19.

“Pertama, KKM melakukan ujian sampel pada 4 Februari di Air Disaster Unit (ADU) sebaik sahaja mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), kemudian ujian sampel dilakukan sekali lagi pada 10 Februari manakala peringkat terakhir pula, ujian sampel dilakukan semalam (17 Februari),” katanya.

Pada 4 Februari lalu, kerajaan menjalankan operasi Misi Kemanusiaan dan Bencana (HADR) untuk membawa pulang lebih 100 individu yang terkandas di Wuhan berikutan disekat perjalanan keluar masuk oleh kerajaan China sejak 23 Januari lalu.

Kemudian, mereka dibawa ke pusat pemantauan (HSC) di Akept dikuarantin selama 14 hari bagi proses pemantauan rapi sebagai prosedur untuk mengelakkan berlakunya penularan sebarang jangkitan silang (cross-contamination).

Ditanya berkenaan prosedur operasi selepas semua PUI dibenarkan pulang, Dr Nur Adibah berkata, pihaknya terus melakukan pembersihan secara klinikal di dalam kawasan yang menempatkan PUI, terutama bilik yang didiami mereka.

“Kita akan buat proses pembersihan secara klinikal seperti disinfeksi pada setiap koridor bangunan, permukaan perabot, tilam, langsir dan sebagainya.

“Prosedurnya sama seperti proses pembersihan yang dilakukan di hospital,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Februari 2020 @ 6:55 PM
    Digital NSTP Subscribe