ADUN Gadek, G Saminathan (kanan) dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, antara individu didakwa atas pertuduhan memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, November tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
ADUN Gadek, G Saminathan (kanan) dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, antara individu didakwa atas pertuduhan memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, November tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Yusri Muzamir


JABATAN Peguam Negara hari ini, membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

BH Online melaporkan, Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, menegaskan keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang dihadapi mereka.

Katanya, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang

“Memang kelaziman untuk mempunyai idola dan bukan sekadar bintang pop, ahli sukan atau pelakon.

“Mempunyai gambar dan representasi lain yang berkaitan mereka dalam telefon bimbit atau akaun Facebook (FB) seseorang, tidak menukar seseorang menjadi pengganas.

“Ini tema umum semua tertuduh LTTE. Setiap mereka mempunyai gambar Prabhakaran (Pengasas LTTE, Velupillai Prabhakaran) dan pemimpin lain LTTE yang terbunuh semasa Perang Saudara di Sri Lanka dalam telefon bimbit atau akaun FB mereka.

“Sekiranya perbuatan ini boleh terjumlah sebagai kesalahan jenayah, ia akan meletakkan undang-undang ke tempat yang tidak dihormati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara yang dituduh sebelum ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek yang juga Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminathan, 34; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60.

Bagaimanapun, Tommy berkata, mungkin terdapat elemen ‘perbuatan pengganas’ pada pihak semua atau mana-mana antara 12 tertuduh LTTE dengan memiliki, mengedar atau memaparkan gambar berkenaan atau Prabhakaran.

“Mustahil bagi pendakwaan untuk membuktikan bahawa mereka tidak termasuk dalam kategori pengecualian Seksyen 130B(4) Kanun Keseksaan, iaitu sekadar terjumlah ‘sokongan,

bantahan atau pertentangan pendapat’,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 4:41 PM
Digital NSTP Subscribe