X
BANGUNAN KWSP. FOTO Arkib NSTP
BANGUNAN KWSP. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan prestasi kukuh bagi 2019 yang disumbangkan oleh operasi dan kewangan, seterusnya membolehkannya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.45 peratus dengan jumlah agihan RM41.68 bilion untuk Simpanan Konvensional.

Justeru, KWSP memberikan 2.95 peratus melebihi kadar yang dimandatkan di bawah Akta KWSP 1991, yang memerlukan pengisytiharan dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun.

Di samping itu, dividen purata tiga tahun KWSP untuk Simpanan Konvensional selepas penyelarasan inflasi, adalah 4.33 peratus, iaitu 2.33 peratus melebihi sasaran tiga tahun KWSP sebanyak dua peratus.

Bagi Simpanan Shariah, yang dilancarkan pada Ogos 2016, KWSP mengumumkan kadar dividen lima peratus untuk Simpanan Shariah 2019, dengan agihan sebanyak RM4.14 bilion, menurut KWSP dalam kenyataan hari ini.

“Perbezaan antara kedua-dua simpanan itu adalah kerana pilihan jumlah aset patuh syariah adalah tidak seluas pilihan yang terbuka untuk pelaburan Simpanan Konvensional,” menurut Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata, majoriti pelaburan Simpanan Shariah adalah dalam pasaran domestik yang menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan pada 2019.

Jumlah aset keseluruhan KWSP meningkat kepada RM924.75 bilion di samping merekodkan pertumbuhan ahli sebanyak 2.8 peratus kepada 14.6 juta ahli, manakala jumlah majikan yang berdaftar pula bertambah 3.0 peratus kepada 522,300 majikan.

Pada tahun yang sama, KWSP mencatatkan peningkatan sebanyak 24.6 peratus bagi pelanggan i-Akaun kepada 7.6 juta pelanggan.

2019 juga menyaksikan KWSP meningkatkan pelbagai penambahbaikan kepada ahlinya.

Tabung persaraan itu melancarkan i-Invest pada Ogos 2019 yang membantu ahli membuat keputusan bermaklumat dalam pelaburan unit amanah, yang menyaksikan lebih 10,000 ahli membuat transaksi bernilai RM81.8 juta.

Bilangan ahli yang menggunakan Khidmat Nasihat Persaraan juga terus berkembang sejak penubuhannya pada 2014, dan sudah memberi manfaat kepada lebih 83,000 ahli.

Di samping itu, jumlah pendaftaran i-Saraan meningkat kepada 137,000 manakala pendaftaran untuk i-Suri bertambah kepada 88,500, menandakan pertumbuhan kukuh bagi kedua-dua produk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 1:23 PM
Digital NSTP Subscribe