Ruwaida Md Zain


PENGUNJUNG sebuah pusat beli-belah di Bukit Tinggi di Klang digemparkan satu kejadian rompakan di sebuah kedai emas, kira-kira 10 malam tadi.

Beberapa video tular di media sosial, termasuk satu video dipercayai memaparkan seorang suspek dalam keadaan cedera terbaring di dalam kedai emas terbabit selepas ditangkap orang awam.

Turut tular juga sebuah video memaparkan pengawal keselamatan cuba mengacukan pistol ke arah dua penjenayah yang melarikan barang kemas di premis terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.

“Pada 10.15 malam tadi, polis menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan rompakan dilakukan oleh dua lelaki di kedai emas terbabit.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika pekerja dalam proses untuk menutup perniagaan dan tiba-tiba suspek dua lelaki memakai topi keledar, bervisor gelap masuk ke dalam kedai.

“Suspek yang bersenjatakan tukul besi itu memecahkan cermin kaca lalu mengambil barangan kemas,” katanya dalam satu kenyataan.

PENGAWAL keselamatan mengacu pistol ke arah perompak. FOTO video tular
PENGAWAL keselamatan mengacu pistol ke arah perompak. FOTO video tular

Shamsul Amar berkata, pada masa yang sama, pengawal keselamatan mengacukan senjata ke arah suspek dan mereka terus melarikan diri ke arah pintu keluar pada jarak kira-kira 20 meter.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian membantu menangkap seorang daripada suspek dan menemui kembali barangan kemas yang dirompak dan merampas tukul yang digunakan dalam kejadian itu.

“Suspek yang cuba melarikan diri itu cedera ketika bergelut dengan orang awam semasa mereka hendak membuat tangkapan,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang berusia 19 tahun yang juga warga tempatan itu diserahkan kepada polis.

“Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 1:28 AM
SEORANG daripada perompak cedera ketika bergelut dengan orang awam. FOTO video tular
SEORANG daripada perompak cedera ketika bergelut dengan orang awam. FOTO video tular
Digital NSTP Subscribe