SAFAWI. FOTO Effendy Rashid
SAFAWI. FOTO Effendy Rashid
Syazwan Msar

SISTEM pembangunan akar umbi di setiap negeri masih lagi lemah dan tidak konsisten menyaksikan pemain hebat seperti Safawi Rasid hanya akan muncul untuk tempoh lima tahun sekali bergantung kepada nasib dan faktor tertentu.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan kemunculan Safawi bukanlah hasil daripada pembangunan akar umbi sebaliknya lebih kepada nasib dan bakat individu.

Beliau berkata, sistem pembangunan bola sepak di setiap negeri yang masih perlahan dan tidak diberikan penekanan lebih terperinci menyebabkan ramai pemain muda berbakat terpinggir atau kurang mendapat pendedahan sewajarnya.

“Jika mahu mengharapkan lebih ramai Safawi dilahirkan pada masa akan datang, perlulah perbaiki sistem pembangunan akar umbi di setiap negeri tanpa mengharapkan pihak tertentu saja berbuat demikian.

“Ketika ini kita mempunyai Akademi Mokhtar Dahari (AMD) namun sebenarnya tidak mencukupi jika program pembangunan akar umbi hanya diletakkan kepada pengurusan terbabit.

“Oleh itu, saya boleh katakan pemain seperti Safawi pada masa ini hanya akan muncul lima tahun sekali dan itu pun jika bernasib baik,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, Safawi menjadi tumpuan apabila bekas kapten Liverpool, Jamie Redknapp berpendapat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu perlu berkelana ke Eropah bagi menimba pengalaman lebih luas.

Selain itu, bekas jurulatih kebangsaan B Sathianathan turut menganggap kehebatan tonggak sayap negara itu umpama pemain import dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan tidak pernah melihatnya sebagai pemain tempatan.

Namun, kehebatan Safawi tidak seiringan dengan pemain muda seusianya yang lain sekali gus menyaksikan hanya dia lebih menyerlah berbanding lain.

Sementara itu, Jamal Nasir berkata, beliau melihat ada beberapa pemain muda mungkin boleh mengikuti jejak langkah Safawi namun masih terlalu awal untuk membuat rumusan berkaitan perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Februari 2020 @ 6:30 AM
Digital NSTP Subscribe