JEMAAH mengaminkan doa yang dibacakan Ustaz Dr Amru Alhaz Adnan selepas solat hajat susulan perkembangan politik semasa tanah air selepas Solat Jumaat di Masjid Negara, semalam. FOTO BERNAMA
JEMAAH mengaminkan doa yang dibacakan Ustaz Dr Amru Alhaz Adnan selepas solat hajat susulan perkembangan politik semasa tanah air selepas Solat Jumaat di Masjid Negara, semalam. FOTO BERNAMA
Sri Ayu Kartika Amri dan Nazri Abu Bakar dan Adnan Ibrahim

KEMELUT politik di peringkat Kerajaan Persekutuan yang dilihat belum ada noktahnya menimbulkan rasa resah dalam kalangan masyarakat yang mahu ia diselesaikan segera.

Malah, rakyat mahukan pemilihan perdana menteri dilaksanakan berlandaskan sistem demokrasi dan perlembagaan.

Usahawan, Rohana Rusdi, 41, berkata pilihan raya lebih telus dan adil kerana rakyat diberi pilihan memilih pemimpin yang mereka mahukan.

“Biar rakyat yang tentukan pemimpin yang kami rasa layak. Jadi seeloknya, biarlah rakyat membuat pilihan kali ini,” katanya yang berpendapat kemelut politik ketika ini merunsingkan rakyat.

Pegawai Perubatan Swasta, Khairul Faizie Mohd Kamar, 41, turut bersetuju jika pemilihan pemimpin dibuat melalui pilihan raya.

“Bagi saya perlu bubar parlimen kerana blok parti politik sudah berpecah kepada tiga bahagian. Tiada majoriti yang kukuh.

“Malah, pemimpin juga boleh bertukar pandangan tak sampai 48 jam,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan rakyat di beberapa negeri yang kini berdepan dengan krisis ‘kerajaan tergantung’ berikutan perubahan kepemimpinan di peringkat pusat.

Di Melaka, rakyat mendoakan kecelaruan politik negara segera pulih menerusi kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan.

Veteran tentera Idris Jaffar, 55, yakin kemelut berkenaan akan dapat diredakan menerusi pemuafakatan majoriti pemilihan nama Perdana Menteri (PM) yang berikan oleh Ahli Parlimen.

Katanya, jika ia menjadikan kenyataan perlu diumumkan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas perpecahan kerajaan Pakatan Rakyat (PH).

Menurutnya, Dewan Rakyat bukan pentas pemilihan nama Perdana Menteri berikutan kerajaan sudah tiada dan persetujuan sudah dilaksanakan yang mahu Yang di-Pertuan Agong memperkenankan nama diusulkan oleh komponen parti.

Bekas guru, Ali Mohamed 60, berkata, peluang kedua kepada wakil pimpinan parti menamakan calon Perdana Menteri perlu diberikan semula kepada Baginda untuk diperkenankan.

Katanya, selepas Tun Dr Mahathir tidak mendapat majoriti penuh sebagai calon Perdana Menteri, ini mendorong peluang itu dikembalikan kepada pemilihan semula untuk diperkenankan.

Beliau berkata, ia perlu dilakukan selepas pembubaran PH sebagai kerajaan serta jawatan menteri dan timbalan menteri.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 8:01 AM