Dr Mahathir. FOTO NSTP
Dr Mahathir. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PERDANA Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah membuat keputusan untuk tidak berjumpa dengannya lagi.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak dapat menyerahkan sokongan 114 Ahli Parlimen.

"YDPA sudah membuat keputusan dan (Muhyiddin) diangkat mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8 pada jam 10.30 pagi nanti walaupun kita mempunyai majoriti.

"Saya tidak ada peluang untuk memberitahu Yang di-Pertuan Agong yang dia (Muhyiddin) tidak mempunyai majoriti dan tidak dapat berkomunikasi dengan istana," katanya pada sidang media, di Kuala Lumpur, hari ini.

Ketika ditanya adakah dia akan bertemu dengan Yang Dipertuan Agong, Tun Mahathir menjelaskan dia tidak dapat bertemu dengan Yang di-Pertua Agong.

Beliau berkata, PH kini terpaksa menunggu sidang Dewan Rakyat akan datang untuk menunjukkan mereka mempunyai sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan.

Menurutnya, peluang mereka untuk menguasai kerajaan kini semakin terhad apabila Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, 10.30 pagi ini.

"PH akan terus berusaha memberitahu rakyat yang kami mempunyai majoriti sokongan Ahli Parlimen yang sepatutnya diberi peluang membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri," katanya.

Terdahulu, Beberapa Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) tiba di Yayasan Al-Bukhary, di sini sejak 8 pagi tadi untuk berkumpul secara aman bagi menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara yang sudah tiba di Yayasan Al-Bukhary ialah Dr Mahathir sendiri yang juga Perdana Menteri interim; Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Ipoh Barat; M Kulasegaran, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Turut menyusul Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Pantai, Fahmi Fadzil; Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 9:36 AM