FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Murni Wan Omar


“ANDA lihat sekarang, saya mempunyai masalah kerana selepas aset saya didedahkan hampir RM1 bilion, mereka akan mahu sensasikannya,” kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam keadaan berang, lapor Malay Mail Online.

Beliau berkata demikian ketika prosiding bela diri bagi kes rasuahnya di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Terdahulu, ketika menjawab soalan peguam, Datuk Tan Hock Chuan, beliau mengesahkan bahawa nilai hartanya pada 2001 adalah sebanyak RM 938,643,566.16, manakala pada 2006 (RM 711,325,822), 2013 (RM 691,770,649) dan 2016 (RM782,748,061).

Menurutnya, nilai yang dinyatakan itu adalah ketika pengisytiharan aset yang hanya untuk pengetahuan Perdana Menteri.

TAN: Datuk Seri mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri pada 2001, 2006, 2013 dan 2016. Siapakah Perdana Menteri pada ketika itu?

TENGKU ADNAN: Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2001, Tun Abdullah Ahmad Badawi (2006) serta Datuk Seri Najib Razak bagi 2013 dan 2016.

TAN: Mengenai RM2 juta dari Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong, adakah nilai itu ada kaitan dengan tugas Datuk Seri sebagai Menteri Wilayah Persekutuan?

TENGKU ADNAN: Tidak.

TAN: Jadi duit itu untuk apa?

TENGKU ADNAN: Sumbangan politik untuk BN (Barisan Nasional) yang mana ketika itu untuk dua pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Bagaimanapun, ketika sesi soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, Ahli Parlimen Putrajaya itu gagal mengawal perasaan serta meninggikan suara.

JULIA : Merujuk kepada perenggan lapan pernyataan saksi anda, anda berkata, “...ramai yang cemburu dan mahu lihat kejatuhan Tadmansori Holdings Sdn Bhd (syarikat Tengku Adnan), saya tidak peduli dengan kedudukan politik saya kerana apa yang saya lakukan secara politik adalah demi kepentingan negara dan rakyat saya.”

Saya cadangkan ini adalah pendapat peribadi anda. Setuju atau tidak?

TENGKU ADNAN: Tidak saya tidak setuju dengan cadangan itu. Apa yang cuba saya sampaikan Yang Arif...

JULIA: Datuk Seri, ini adalah pemeriksaan balas, anda hanya boleh jawab sama ada setuju atau tidak bersetuju?

TENGKU ADNAN: Tidak saya tidak bersetuju! Anda lihat sekarang saya mempunyai masalah kerana selepas aset saya didedahkan hampir RM1 bilion, mereka akan mahu sensasikannya.

Terdahulu, mahkamah menolak permohonan Tengku Adnan supaya prosiding perbicaraan kesnya dibuat secara tertutup.

Tengku Adnan membuat permohonan itu supaya ia dibuat secara tertutup berikutan terdapat soalan tambahan oleh peguamnya berhubung dokumen yang mengandungi maklumat pengisytiharan aset miliknya.

Hakim Mohamed Zaini dalam keputusannya berkata, orang awam berhak mengetahui maklumat dalam dokumen itu.

“Perbicaraan kes itu perlu dibuat secara telus demi perbicaraan yang adil. Saya mengambil kira fakta bahawa tertuduh adalah bekas menteri dan kes ini menarik perhatian umum.

“Perbicaraan bukan sahaja dibuat secara adil tetapi ia juga perlu dilihat adil. Untuk perbicaraan dibuat secara adil ia perlu dibuat secara telus.

“Oleh itu, orang awam mempunyai hak untuk mendengar apa yang mahkamah dengar dan lihat apa yang mahkamah lihat,” katanya.

Menurutnya, dengan cara itu orang awam akan menghargai apa jua keputusan yang dibuat mahkamah dan tidak tertanya-tanya berhubung bukti yang dirahsiakan.

Pada 23 Januari tahun lalu, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima suapan untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan lain atas dakwaan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Tengku Adnan turut menghadapi pertuduhan pilihan iaitu didakwa menerima wang berjumlah RM1 juta yang juga barangan berharga daripada Eng Boon tanpa sebarang balasan melalui cek ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 8:04 PM