KEBIMBANGAN orang ramai berhubung penularan virus Covid-19 ‘gelombang kedua’ di negara ini jelas berasas apabila seramai 14 pesakit baru disahkan dijangkiti semalam.
Kementerian Kesihatan mengesahkan 14 individu yang positif Covid-19 itu kesemuanya adalah kontak rapat dengan kes ke-26.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka itu menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 sehingga hari semalam adalah sebanyak 50 kes.
Katanya, negara kini sudah memasuki gelombang kedua Covid-19 bermula 27 Februari lalu selepas 11 hari bebas kes baharu.
“Seperti mana dimaklumkan sebelum ini, gelombang pertama jangkitan Covid-19 di negara ini merangkumi 22 kes.
“Bagi gelombang kedua terdapat satu kluster Covid-19 yang dikenal pasti dan ia membabitkan kes ke-26. Berdasarkan siasatan dan pengesanan kontak dijalankan sehingga kini, terdapat 215 kontak rapat yang dikesan.
“Daripada jumlah kontak rapat berkenaan, 16 kes adalah positif, 19 negatif dan 180 individu masih menunggu keputusan,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan maklumat terkini diperoleh, kesemua individu yang dijangkiti Covid-19 itu dijangkiti melalui pesakit ke-26 semasa menghadiri beberapa majlis dan mesyuarat.
“Salah seorang individu dijangkiti adalah pegawai kepada kes ke-26 itu, 15 individu lagi menghadiri lebih dari satu aktiviti bersama dengan kes ke-26.
“Proses mengesan kontak rapat masih berjalan dan kita kena pastikan kedua-dua generasi disebabkan (jangkitan) kes-26 dapat diatasi,” katanya.
Ketika ditanya sama ada kes-26 itu adalah penyebar utama kepada pertambahan kes positif di negara ini, Dr Noor Hisham berkata pihaknya tidak boleh mengklasifikasikan hal itu.
“Tidak boleh panggil ia sebagai penyebar utama lagi sebab jika di Korea Selatan kes ke-31 di sana sudah menjangkiti lebih daripada seribu pesakit.
“Di negara ini, cuma 16 kes positif dilaporkan dan disahkan oleh kes-26. Saya boleh katakan ini luar biasa berbanding kes lain. Tapi kita sedang jejaki kontak lain dan asingkan kes-26,” katanya.