KEADAAN sedikit lengang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.
KEADAAN sedikit lengang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.
Muhaamad Hafis Nawawi


KERAJAAN menganggarkan kerugian keseluruhan dalam sektor pelancongan mulai Januari hingga Februari 2020 sebanyak RM3.37 bilion.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penularan Covid-19 menyebabkan pakej pelancongan dibatalkan dan menjejaskan mereka yang bekerja dengan syarikat penerbangan serta perhotelan.

Menurutnya, kerajaan juga menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menurun 0.8 peratus hingga 1.2 peratus iaitu penurunan RM10.8 bilion hingga RM17.3 bilion.

“Dari segi ekonomi, sektor yang paling teruk terjejas ialah pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana dan industri pengangkutan

“Saya sedar bahawa langkah segera perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan kesan wabak ini kepada ekonomi negara, khususnya kepada rakyat,” katanya ketika berucap dalam perutusan khas berkaitan Covid-19 malam tadi.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan memastikan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan akan dipantau pelaksanaannya supaya kesannya akan dapat dirasai oleh anda semua dengan segera.

“Kerajaan amat prihatin dengan nasib rakyat Malaysia yang berada di negara-negara yang terjejas teruk dengan wabak Covid-19 seperti China, Iran, Itali dan Korea Selatan.

“Sehingga kini, kerajaan membawa pulang seramai 107 orang rakyat Malaysia dari sebahagian negara-negara ini manakala seramai 65 orang rakyat Malaysia yang berada di Iran dan 323 orang yang berada di Itali sedang dalam proses untuk dibawa pulang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan mempertingkatkan pelaksanaan saringan di Pintu Masuk Antarabangsa, menjalankan sekatan perjalanan dari negara terlibat dan menyediakan laluan khas untuk pelawat dari negara terbabit.

“Kerajaan juga akan meningkatkan bilangan hospital yang boleh merawat kes Covid-19.

“Sehingga kini, sebanyak 26 buah hospital kerajaan dan sebuah hospital universiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya mempunyai keupayaan untuk mengendalikan kes-kes Covid-19,” katanya.

Katanya, kolaborasi dengan hospital swasta, hospital di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia dan hospital universiti dimulakan sebagai persediaan untuk menerima pertambahan pesakit.

“Di samping itu, terdapat 57 hospital kerajaan dan 170 klinik kesihatan di seluruh negara yang bersedia untuk melaksanakan saringan kesihatan ke atas mereka yang bergejala penyakit Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga memutuskan agar semua perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguhkan atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April dan keputusan ini akan diteliti semula sekiranya situasi Covid-19 bertambah baik.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 6:35 AM
    Digital NSTP Subscribe