MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. FOTO arkib NSTP
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


SEBANYAK 125 kes positif Covid-19 direkodkan hari ini, dengan 12 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah kes baharu itu menjadikan keseluruhan kes positif di Malaysia adalah 553 kes setakat 12 tengah hari.

“95 kes baharu yang disahkan itu adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, termasuk tiga yang menerima rawatan di ICU.

“Paling tinggi kes dilaporkan adalah dari Selangor, Kuala Lumpur, Sabah dan Johor,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.

Beliau berkata, negara ketika ini berdepan pertambahan kes Covid-19 yang ketara dan mengambil kira perkara itu, KKM memasuki pembendungan akhir jangkitan.

“KKM sedang melaksanakan aktiviti mitigasi. Antara langkah diambil adalah menjadikan Hospital Sungai Buloh (HSB) sebagai hospital khusus kes Covid-19 berdasarkan kelengkapan makmal dan kepakaran,” katanya.

Ditanya mengenai keperluan perintah berkurung diadakan berikutan peningkatan kes yang serius, Dr Adham berkata, pihaknya kini sudah berada di tahap mitigasi.

Katanya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka membuat pengumuman penting malam ini mengenai sebarang kemungkinan sama ada perintah berkurung di negara ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 5:54 PM