Yusmizal Dolah Aling


KERAJAAN memutuskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membantu polis bermula Ahad ini susulan penularan wabak covid-19 terutama dari segi aspek pematuhan supaya rakyat berada di rumah masing-masing dalam tempoh Perintah Kawalan Terhad.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini terdapat peningkatan dari segi pematuhan rakyat untuk terus berada di rumah, namun masih ada yang tidak mempedulikan arahan daripada kerajaan khususnya polis.

ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA
ISMAIL Sabri Yaakob. FOTO BERNAMA

Katanya, walaupun mempunyai kuasa dan akta sendiri, polis masih lagi melakukan tindakan awal dengan memberikan nasihat supaya penduduk tidak berada di kawasan terbuka seperti padang permainan dan restoran serta tempat lain.

“Kerajaan ucap setinggi -tinggi terima kasih kerana rakyat sedar dan patuh untuk berada di rumah. Bagaimanapun, masih terdapat insiden di mana ada yang tidak mempedulikan arahan daripada kerajaan malah ada yang tidak mempedulikan arahan daripada pihak polis,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail Sabri juga menafikan penyebaran berita kononnya beliau akan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya perintah darurat dilaksanakan.

“Semalam pelbagai berita palsu diedarkan. Ini lebih menambah banyak panik dalam kalangan rakyat. Ada sampai audio, ‘posting’ dalam Facebook yang mengatakan Menteri Pertahanan akan umumkan perintah darurat selepas dapat perkenan Agong.

“Saya tidak tahu Menteri Pertahanan mana. Tiada dalam perancangan untuk perintah darurat. Malah kononnya aset tentera sudah digerakkan untuk perintah darurat pun tidak betul. Jadi, saya nasihatkan rakyat jangan mudah percaya.

“Begitu juga kononnya pihak tentera akan menyemburkan racun serangga untuk membasmi wabak Covid-19 ini menggunakan helikopter. Jadi saya harap rakyat tidak percaya dan boleh semak menerusi hotline dengan kementerian masing-masing,” katanya.

Dalam sidang media sama, beliau berkata, kerajaan juga mengumumkan akan menanggung perbelanjaan makanan semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang tidak dapat pulang ke rumah berikutan PKP.

Menurutnya, ibu bapa tidak perlu bimbang dengan keadaan anak masing-masing kerana kerajaan menanggung sepenuhnya perbelanjaan makanan mereka.

“Insya-Allah pelajar berkenaan berada dalam keadaan selesa di kolej kediaman masing-masing dan makanan diberikan dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat tadi selepas kita dapat aduan kebimbangan ibu bapa yang anak mereka di universiti tidak berkemampuan membeli makanan apabila tidak dapat pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Katanya, jumlah sebenar peruntukan untuk perbelanjaan makanan itu sedang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan ketika ini terdapat seramai 60,000 pelajar berada di kolej kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 1:05 PM