GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN


JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) melaporkan dua lagi kematian akibat koronavirus baharu (Covid-19), menjadikan jumlah mangsa korban wabak itu seramai enam orang dalam negara.

Dalam kenyataannya, JPBNS menjelaskan dua korban itu membabitkan ibu dan anak perempuan dari satu keluarga yang sama, masing-masing berusia 79 dan 40 tahun.

Katanya, mangsa pertama keluarga itu meninggal dunia pada 2 pagi Rabu lalu (18 Mac), manakala mangsa kedua meninggal pada 1 tengah hari, hari ini.

“Seorang lagi ahli keluarga ini masih dalam rawatan di Hospital Umum Sarawak di Kuching dan memerlukan bantuan pernafasan mekanikal.

“Pelaporan kes kematian pertama akibat Covid-19 dari keluarga ini lambat diterima dari hospital swasta merawat kes kerana menunggu keputusan ujian makmal yang dihantar ke makmal swasta di Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Sarawak hari ini mencatatkan pertambahan 10 lagi kes baharu Positif Covid-19, menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 68 kes sejak pertama dilaporkan pada 13 Mac.

Dua kes baharu dirawat di Hospital Umum Sarawak, lima kes di Hospital Sibu, dua di Hospital Bintulu, manakala seorang meninggal dunia di Kuching semasa keputusan ujian pengesahan diperoleh.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak menyeru semua fasiliti kesihatan dan perubatan swasta agar melaporkan semua kes disyaki dan disahkan Covid-19 kepada Pejabat Kesihatan Bahagian yang berhampiran dengan kadar segera agar tindakan kawalan boleh dilakukan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 5:05 PM