X


SERAMAI 73 petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dikesan positif koronavirus baharu (Covid-19), setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan siasatan, punca jangkitan bagi kesemua anggota kesihatan ini bukan disebabkan pengendalian kes positif Covid-19 di fasiliti kesihatan KKM.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, punca jangkitan bagi 47 kes berkaitan dengan majlis perkahwinan yang turut dihadiri jemaah daripada perhimpunan tabligh.

Katanya, lain-lain punca adalah disebabkan petugas kesihatan terbabit ada sejarah melawat ke luar negara dan daripada kontak keluarga yang positif Covid-19.

“Seramai 1,895 anggota kesihatan KKM menguruskan pesakit Covid-19 di fasiliti kesihatan KKM sudah menjalani ujian pengesahan, yang mana 1,187 orang adalah negatif, manakala 708 lagi masih menunggu keputusan dan tiada yang dikesan positif,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham juga memohon semua anggota kesihatan dan barisan hadapan (frontliners) untuk memaklumkan Ketua Jabatan masing-masing sekiranya terbabit secara langsung atau mempunyai kontak dengan peserta yang menghadiri:

• program Ijtimak di Seri Petaling dari 27 Februari sehingga 3 Mac; atau

• majlis perkahwinan pada 6 Mac di Bangi atau majlis perkahwinan pada 7 Mac di Putrajaya yang dihadiri oleh anggota kesihatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 6:07 PM
    DR Noor Hisham ketika sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
    DR Noor Hisham ketika sidang media di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
    Digital NSTP Subscribe