MAHU yang terbaik untuk lagu Tenang.
MAHU yang terbaik untuk lagu Tenang.
Sudirman Mohd Tahir


MUNGKIN ramai yang belum tahu, figura sensasi ini mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.

Malah, wanita genit berusia 26 tahun dikenali sebagai Bella Astillah ini pernah merakam album kanak-kanak dengan menyanyikan koleksi lagu kanak-kanak seperti Bangau Oh bangau, Tom Tom Bak, Air Pasang Dalam dan lain-lain bersama adiknya yang juga penyanyi, Didi Astillah.

Melalui album kanak-kanak itu, mereka dikenali sebagai Adik-Adik Mutiara. Bermula dari situ, bakat Bella mula berkembang.

Kali terakhir Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah merakamkan lagu ialah pada usia 12 tahun menerusi lagu tema Diari Ramadan Rafique.

Selepas sekian lama, Bella yang juga pelakon drama Cinta Belum Tamat Tempoh kembali ke studio rakaman dengan merakamkan lagu berjudul Tenang hasil ciptaan Audi Mok terbitan dan edaran Universal Music yang dilancarkan esok.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Bella yang juga ibu tunggal anak satu itu berkata, Tenang bukan mengenai kisah hidupnya 100 peratus.

“Saya percaya setiap individu menginginkan kehidupan yang baik. Bagi saya, apabila kita sentiasa positif, insya-Allah mudah untuk berasa tenang. Dari situ, saya dan komposer mendapat sedikit inspirasi untuk lirik lagu Tenang.

“Lirik lagu ini tidak sepenuhnya mengenai perjalanan hidup saya, tapi lebih kepada ingin berkongsi perasaan positif untuk sentiasa bersangka baik dengan ujian dan jangan putus asa,” katanya.

Bella berkata, walaupun sudah lama meninggalkan dunia rakaman suara, pengalaman merakamkan Tenang sesuatu yang mengujakan.

RAKAM lagu demi penuhi keinginan dan permintaan peminat.
RAKAM lagu demi penuhi keinginan dan permintaan peminat.

Apatah lagi dia dibantu komposer hebat dan berpengalaman, sekali gus memudahkan proses itu.

“Proses merakamkan lagu Tenang sangat tenang dan segalanya dipermudahkan. Alhamdulillah dengan bantuan Audi Mok sendiri membuatkan saya lebih selesa dan sangat mudah.

“Kami saling mendengar pendapat masing-masing. Itu yang memudahkan lagi proses rakaman lagu ini. Begitu juga ketika proses memperdengarkan melodi lagu. Audi sangat memahami dan kreatif,” katanya.

Penuhi permintaan peminat

Alasan utama Bella merakamkan lagu itu ialah kerana mahu memenuhi keinginan dan permintaan peminatnya.

“Saya sering melakukan ‘cover’ lagu dan ramai yang mahu saya mempunyai lagu sendiri.

“Lagu terakhir yang dirakam adalah Diari Ramadan Rafique dan itu pun ketika saya berusia 12 tahun.

“Disebabkan itu saya fikir adalah lebih baik saya ada lagu sendiri sebagai hadiah kepada pendengar setia saya di media sosial,” katanya.

Walaupun kehadirannya bukan untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi profesional sedia ada, Bella mengakui dia mahukan yang terbaik buat lagu itu.

“Saya percaya pihak Universal Music lebih tahu mengenai apa yang terbaik untuk lagu ini.

“Namun, saya tidak pernah meletakkan harapan tinggi dengan niat untuk lagu ini meletup. Tapi, sudah semestinya saya menginginkan yang terbaik. Kalau ada rezeki untuk mana-mana pertandingan saya tidak menolak.

“Malah, saya juga percaya semua penyanyi berharap lagu mereka diterima pendengar dengan baik dan positif. Doakan semoga lagu ini dipermudahkan,” katanya.

Lagu Tenang dilancarkan secara rasmi di semua platform digital muzik bermula tengah malam ini.

Video muzik pula dilancarkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia jam 3 petang esok.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 6:00 AM
Digital NSTP Subscribe