PELBAGAI komplikasi yang dihadapi oleh warga emas mendedahkan mereka kepada keparahan jangkitan.
PELBAGAI komplikasi yang dihadapi oleh warga emas mendedahkan mereka kepada keparahan jangkitan.
Oleh Muhammad Saufi Hassan & Nurul Husna Mahmud


ANGKA kematian berkaitan virus Covid-19 membabitkan golongan warga emas dilihat lebih tinggi berikutan kategori umur berkenaan menghadapi lebih banyak komplikasi penyakit lain, sekali gus melemahkan imunisasi serta terdedah dengan serangan virus.

Ketua Pusat Epidemiologi dan Amalan Berasas Bukti, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM) Prof Dr Noran Naqiah Hairi berkata, kategori umur berkenaan kebiasaannya mempunyai pelbagai penyakit terutamanya diabetes mellitus, masalah pernafasan dan beberapa rangkaian penyakit lain.

“Jika dilihat kepada bukti ini jelas menunjukkan bahawa seseorang warga emas yang menghidapi penyakit diabetes, penyakit itu sudah melemahkan satu fungsi sistem imun di dalam badan seseorang.

“Golongan ini yang memiliki sistem imun yang lemah sangat terdedah dengan serangan virus terutamanya ketika penularan Covid-19 dan ini yang dihadapi bukan saja di negara kita, malah negara lain yang turut mendepani virus terbabit.

“Umur ini adalah proksi atau pengganti (surrogate) kepada sesuatu penyakit yang sedang dihidapi oleh seseorang dan ia membuat mereka sangat terdedah dengan sebarang virus,” katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi di sini, semalam.

Dr Noran Naqiah Hairi
Dr Noran Naqiah Hairi

Sementara itu, Presiden Mercy Malaysia yang juga pakar perunding perubatan respiratori Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus tidak menafikan jumlah kematian Covid-19 ini lebih kerap berlaku dalam kalangan warga tua.

“Sehingga hari ini jumlah kematian dilihat lebih banyak membabitkan warga emas berbanding golongan muda mahupun kanak-kanak. Jadi ini memberi gambaran mengenai dua unsur demografi yang jelas membabitkan kematian akibat wabak ini.

“Pertama, kematian lebih ramai dalam kalangan lelaki berbanding wanita selain kadar risiko kematian meningkat seiring dengan peningkatan usia.

“Perincian untuk itu ialah kadar kematian untuk Covid-19 adalah tiga kali ganda bagi pesakit berumur 65 tahun ke atas berbanding kumpulan usia lebih muda.

“Manakala keadaan lebih buruk bagi pesakit berusia 75 tahun ke atas risiko kematian meningkat sekali ganda berbanding kumpulan umur 65 tahun dan ke atas,” katanya.

Ini merujuk kepada pelbagai faktor kesihatan warga tua berdasarkan enam aspek yang diperincikan pihaknya.

Antaranya, tahap kesihatan keseluruhan warga tua yang kurang berbanding golongan muda, warga tua yang menghidapi penyakit jangka panjang (kronik) yang boleh menurunkan imuniti dan lain-lain.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 7:00 AM
    Digital NSTP Subscribe