RAKAMAN gambar anggota polis membantu pasangan suami isteri yang kehabisan bekalan makanan. FOTO Ihsan Facebook Polis Johor
RAKAMAN gambar anggota polis membantu pasangan suami isteri yang kehabisan bekalan makanan. FOTO Ihsan Facebook Polis Johor
Omar Ahmad


TANGISAN wanita di taman permainan ketika ditemui dua anggota polis menjalankan arahan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merungkai nasib keluarganya yang kehabisan bekalan makanan di rumah mereka.

Menerusi kenyataan dikongsi di Laman Facebook rasmi Polis Johor, anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Koperal Mohd Hisham Mustafa dan Konstabel Mudrikah Nazirul Nordin, menemui wanita itu bersama suami dan anak berusia setahun di taman permainan dekat Taman Tampoi Indah, Johor Bahru, hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan, pasangan suami isteri bersama anak mereka diminta untuk pulang ke rumah sebagai mematuhi PKP.

Bagaimanapun, katanya, wanita itu tiba-tiba menangis memaklumkan mereka tiada wang dan semua bekalan makanan di rumahnya sudah kehabisan.

“Malah lebih menyedihkan anak kecil itu ketika ditemui hanya berbekalkan botol susu yang diisi air milo.

“Anggota berkenaan yang bersimpati bawa keluarga itu ke kedai runcit berdekatan dan membelikan susu kepada anak pasangan terbabit serta barangan makanan.

“Pasangan keluarga itu tinggal di Taman Tampoi Indah dengan menyewa bilik. Suaminya tidak lagi berkerja sambilan di Singapura kerana tiada permit kerja manakala isteri seorang tukang cuci di Larkin dan kini diarahkan bercuti,” katanya dalam hantaran Facebook itu.

Hantaran yang dimuat naik itu mendapat reaksi daripada warganet yang rata-rata memuji tindakan mulia anggota polis terbabit serta mendoakan keluarga terbabit dibantu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 9:19 PM