DREBAR teksi antara golongan terjejas akibat PKP.
DREBAR teksi antara golongan terjejas akibat PKP.
Oleh Ruwaida Md Zain


HILANG punca pendapatan secara tiba-tiba susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendesak pekerja bergaji harian, peniaga gerai, penjaja jalanan mendapatkan bantuan dari badan bukan kerajaan (NGO).

Kebanyakan mereka lebih selesa meminta bantuan dari NGO kerana merasakan masih ramai asnaf yang lebih layak memerlukan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Peniaga nasi lemak, Mohd Nasir Othman, 57 mengakui dia tiada sumber pendapatan sejak 18 Mac lalu sehingga kini.

“Saya bukan penerima zakat, tetapi dalam keadaan sekarang saya amat memerlukan bantuan termasuk kewangan bagi membayar sewa rumah, cuma nasib saya baik sebab pemilik rumah memahami keadaan saya sebab saya sudah menyewa di sini sejak 12 tahun lalu.

“Kalau diikutkan setiap hari saya dapat jualan kasar RM200 hingga RM300, saya niaga lima hari seminggu. Duit itulah untuk sekolah anak, bayar sewa, serta bil juga makan minum dan modal niaga. Sekarang memang tidak cukup untuk tampung itu semua,” katanya.

Dia melahirkan kesyukuran apabila mendapat bantuan keperluan asas bernilai RM100 daripada sebuah NGO, Al-I’tisam Relief Program.

“Alhamdulillah semalam saya terima bantuan keperluan asas seperti beras, tepung, bihun, minyak masak, rempah, sardin, garam, kicap serta Teh, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya yang berniaga dan tinggal di TTDI Jaya, Shah Alam di sini.

Sementara itu, bagi pembantu sebuah restoran, Suriati Sueb, 45 pula, sebagai ibu tunggal kehidupan amat sukar kerana dia adalah pekerja bergaji hari.

“Saya dapat gaji RM50 sehari, sebulan termasuk kerja lebih masa, Alhamdulillah dapat RM1,700, itulah saya guna untuk membesarkan tiga anak semua bersekolah, makan pakai, bil dan perbelanjaan lain,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 7:01 AM
    Digital NSTP Subscribe