RAKAMAN yang tular di media sosial.
RAKAMAN yang tular di media sosial.
Juwan Riduan


POLIS tetap menjalankan siasatan dalaman terhadap pegawainya di Kunak yang merotan lima remaja lelaki kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, jika dilihat daripada sudut penguatkuasaan, tindakan pegawai itu tidak wajar namun daripada segi moral ia adalah untuk memberi pengajaran kepada remaja terbabit kerana mengingkari arahan PKP.

“Pegawai ini, kita akan ambil tindakan sebab ia mencerminkan perbuatan tidak sewajarnya oleh pegawai polis dalam melaksanakan PKP.

“Walaupun niat dia baik, cara dia tidak betul. Perlu mematuhi SOP sedia ada dan tidak melanggar piawaian polis,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kepayan, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa pegawai terbabit difahamkan bertindak demikian sebagai pengajaran kepada penduduk supaya tidak ingkar dengan pematuhan PKP.

“Difahamkan juga, pegawai itu juga memuat naik insiden berkenaan di laman sosial.

“Memang tidak ada niat untuk mendera atau sebagainya, sebab masa dia pukul, dia minta anggota rakamkan perbuatan itu kemudian di muat naik di Facebooknya,” katanya.

Semalam, tersebar sebuah video berdurasi 26 saat memaparkan seorang pegawai polis bertindak merotan lima remaja terbabit menggunakan ranting kayu kerana ingkar arahan untuk balik ke rumah masing-masing.

Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi di media sosial terutama golongan netizen yang memuji langkah pihak berkuasa yang tegas dalam melaksanakan tugas memastikan rakyat mematuhi PKP.

Zaini berkata, tindakan di peringkat jabatan akan diambil ke atas pegawai itu, manakala kumpulan remaja itu sebenarnya bernasib baik kerana mereka tidak ditangkap sebaliknya polis hanya memberi pengajaran moral kepada mereka.

Berita berkaitan

Polis siasat pegawai rotan remaja ingkar PKP

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2020 @ 3:26 PM