X
Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim


“PENGIKTIRAFAN itu bukan untuk saya tetapi untuk negara.”

Itu reaksi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah selepas beliau diiktiraf setaraf dua lagi tokoh perubatan, Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr Ashley Bloomfield (New Zealand) sebagai ‘wajah paling dipercayai’ khususnya dalam menangani pandemik Covid-19 ketika ini.

Beliau berkata, apa yang penting Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerja sebagai satu pasukan untuk negara.

“KKM memberikan nasihat (kepada kerajaan) dan pastinya yang membuat keputusan bukanlah saya tetapi sebenarnya adalah Perdana Menteri.

“Contohnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melaksanakan adalah Perdana Menteri, kami mengesyorkan namun beliau yang membuat keputusan serta arahan tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dikenali sebagai insan yang merendah diri, Dr Noor Hisham turut mengucapkan penghargaan kepada semua kementerian dan menteri yang bekerjasama dalam pelaksanaan PKP.

Menurutnya, tindakan kawalan sempadan yang tegas juga menyumbang kepada kejayaan PKP supaya orang ramai patuh.

“KKM ucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan sebagainya yang gigih mengawal sempadan negara.

“Penghargaan juga kepada mereka dan barisan hadapan kesihatan yang tampil ikhlas bekerja,” katanya.

Agensi berita antarabangsa sebelum ini memetik portal China Global Television Network (CGTN) yang menamakan Dr Noor Hisham, Dr Fauci dan Dr Bloomfield sebagai ‘wajah paling dipercayai’.

Beliau dan dua lagi tokoh perubatan itu mendapat pengiktirafan media China serta menggelar mereka sebagai penyampai kebenaran dan wira dunia.

Dr Noor Hisham menyandang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013 dan masih menjalankan tugas sebagai perunding kanan dan pakar bedah endokrin di Hospital Putrajaya.

Dr Fauci menjadi penasihat perubatan kepada enam presiden AS serta pernah ‘memerangi’ HIV/AIDS, Zika dan Ebola manakala Dr Bloomfield pula sebelum ini bertugas di United Kingdom dan New Zealand serta pernah menyertai Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Geneva.

Dr Fauci dilaporkan bertugas antara 16 hingga 18 jam sehari sejak beberapa minggu lalu dan melayani sesi temubual dengan semua rangkaian televisyen yang ada.

Dr Noor Hisham pula belum pernah gagal membuat hantaran di Twitter dan Facebook walaupun pada lewat malam untuk memberikan maklumat terkini berkaitan situasi Covid-19 di Malaysia.

Lebih menarik lagi, hari Dr Bloomfield mengambil cuti rehat menjadi tajuk utama akhbar di New Zealand bulan lalu dengan paparan “Akhirnya Bloomfield Mengambil Cuti Sehari.”

DR Noor Hisham. FOTO Bernama
DR Noor Hisham. FOTO Bernama

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 7:01 PM