Yusmizal Dolah Aling


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berakhir 28 April ini dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 12 Mei.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga tidak menolak kemungkinan ia akan disambung lagi selepas itu bergantung kepada situasi semasa Covid-19 di negara ini.

Katanya, dalam tempoh itu, kerajaan akan menilai data-data untuk melihat proses seterusnya.

"Ramainya mungkin bertanya, bila boleh bekerja. Biar saya beri sedikit bayangan, kerajaan akan mempertimbang untuk memberi kelonggaran kepada beberapa sektor dan sub sektor bagi membolehkan mereka beroperasi.

"Bagaimanapun ia akan tertakluk kepada peraturan ketat bagi memastikan usaha kita memerangi Covid-19 tidak terjejas," katanya pada perutusan khas Ramadan hari ini.

MUHYIDDIN dalam Perutusan Khas Ramadan. FOTO BERNAMA
MUHYIDDIN dalam Perutusan Khas Ramadan. FOTO BERNAMA

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga memberikan sedikit kelonggaran kepada penuntut universiti yang berada di kampus untuk pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.


Katanya, kerajaan juga memberi kebenaran satu kali perjalanan kepada mereka yang berada di kampung atau tempat lain untuk pulang ke rumah masing-masing.

"Kerajaan sedang mengumpul data dan mengkaji kaedah yang terbaik untuk mengatur pergerakan saudara-saudari," katanya.


Beliau turut menasihatkan rakyat agar berjihad dan istiqamah dalam menangani Covid-19.


Selain itu Perdana Menteri turut mendoakan agar petugas barisan hadapan sabar dan tabah menjalankan tugas dalam keadaan berpuasa.

"Insya-Allah, pengorbanan anda semua akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2020 @ 10:17 PM