Allahyarham Tuan Guru Mohamad Yassin Muhammad.
Allahyarham Tuan Guru Mohamad Yassin Muhammad.
Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin


NAMA Allahyarham Tuan Guru Mohamad Yassin Muhammad kembali menjadi sebutan apabila ramai yang mengetahui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah anak kepada tokoh ulama ini.

Ramai yang tahu mengenainya selepas Muhyiddin mengetuai bacaan doa bagi memohon perlindungan negara daripada wabak Covid-19 ketika menyampaikan perutusan khas, Mac lalu.

Ia dapat dilihat apabila netizen membuat hantaran dalam media sosial memaklumkan sisi 'rahsia' peribadi Perdana Menteri yang tidak diketahui ramai.

Muhyiddin ialah seorang daripada 47 anak daripada empat isteri ulama terkenal di Muar dan Johor itu.

Allahyarham Tuan Guru Mohamad Yassin Muhammad dilahirkan di Tanjung Bidara, Melaka pada 1902.

Keluarga tokoh agama ini dipercayai berasal dari Sumatera, Indonesia yang kemudiannya berhijrah ke Melaka.

Cucu Allahyarham, Khalidah Abd Ghafar, 52, berkata, dia bersyukur dan bangga datuknya dikenali ramai kerana ketokohannya dalam ilmu agama.

"Semasa hayatnya, Allahyarham sentiasa berpesan kepada anak-anaknya supaya sentiasa mengamalkan amalan yang beliau berikan.

"Sejak kecil, saya diajar oleh ayah membaca Selawat Fatih dan Surah Al-Taubah ayat 128 serta 129 yang menjadi amalan saya juga keluarga hingga kini," katanya.

Malah, katanya, Allahyarham juga pernah mengatakan kepada anak-anaknya bahawa seorang daripada anaknya akan menjadi menteri.

"Ternyata firasat Allahyarham tepat dan hari ini bapa saudara saya, (Muhyiddin) menjadi Perdana Menteri.

"Saya tidak sempat bermanja lama dengan datuk kerana Allahyarham meninggal dunia ketika saya berusia tujuh tahun," katanya.

Katanya, biarpun peluang itu singkat, tetapi kenangan bersama Allahyarham tidak pernah hilang daripada ingatannya dan gambar arwah datuknya itu masih dalam simpanannya.

Allahyarham mempunyai empat isteri iaitu Allahyarhamah Maznah Daud (isteri pertama), Allahyarhamah Khadijah Kassim (isteri kedua yang juga ibu Perdana Menteri), Allahyarhamah Sapiah Abdullah (isteri ketiga) dan Allahyarhamah Kintan Ibrahim (isteri keempat).

Pada 1955, Allahyarham menerima Pingat Sultan Ibrahim sebagai pengiktirafan beliau sebagai seorang daripada 40 tokoh ulama Johor.

Allahyarham meninggal dunia pada 1975 pada usia 73 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 1, Muar, Johor.

Empat jasa Allahyarham Tuan Guru Mohamad Yassin Muhammad:

Pendidikan

Pembinaan Madrasah As Sa'adiah (aliran Arab) dan Sekolah Menengah Mohd Yassin (aliran akademik)

Kepimpinan

Ditonjolkan dalam pengurusan dua sekolah yang dibangunkan.

Dakwah

Mengajar ilmu agama Tauhid dan Tasawwuf di masjid sekitar Muar, Tangkak dan Melaka.

Pemikiran

Penubuhan Badan Kebajikan Jemaah Khaujakan Johor

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 April 2020 @ 11:47 AM