TIADA kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat jangkitan wabak berkenaan dalam negara ketika ini kekal 105 kes.

Mengenai bilangan kes baharu positif Covid-19, beliau berkata, sebanyak 55 kes dilaporkan hari ini, mencatatkan 6,353 kes keseluruhan dalam negara.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak tujuh kes baharu itu membabitkan kes import, manakala 48 kes membabitkan penularan dalam komuniti yang mana 24 daripadanya daripada kluster dan lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Katanya, seramai 28 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), 13 pesakit menggunakan bantuan alat pernafasan.

"Bilangan pesakit yang telah sembuh terus bertambah. Terbaru, seramai 71 orang telah sembuh.

"Ini menjadikan 4,484 pesakit telah sembuh dan discaj hospital dengan kadar kesembuhan 70.6 peratus.

"Kes aktif (positif Covid-19) kebolehjangkitan seramai 1,764 pesakit, mereka sudah diasingkan dan diberi rawatan," katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

DR Noor Hisham ketika sidang media harian Covid-19 . FOTO Mohd Fadli Hamzah
DR Noor Hisham ketika sidang media harian Covid-19 . FOTO Mohd Fadli Hamzah

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 4:55 PM