Polis mengejar sejauh 15km sebelum berjaya mengepung kenderaan suspek. FOTO ihsan PDRM
Polis mengejar sejauh 15km sebelum berjaya mengepung kenderaan suspek. FOTO ihsan PDRM
Mohamed Farid Noh


BIMBANG dicekup, remaja lelaki berusia 17 tahun memecut keretanya sejauh 15 kilometer (km) sekitar bandar Johor Bahru selain dilapor merempuh beberapa kenderaan lain sebelum berjaya ditahan polis.

Bagi menahannya, tujuh kereta MPV polis terpaksa mengejar dan mengepung kenderaan dipandu remaja terbabit sebelum ditahan berdekatan restoran makanan segera di Jalan Tebrau, di Johor Bahru, 10.30 pagi tadi.

Terdahulu, suspek yang memandu kereta jenis Perodua Myvi enggan memberhentikan kenderaan dipandunya itu selepas diarahkan anggota polis yang melakukan rondaan di Jalan Tebrau hingga ke Taman Mutiara Emas Utama menyebabkan polis terpaksa mengejarnya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay ketika dihubungi, mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis menemui pelbagai jenis dadah dalam beg sandang miliknya.

"Ia termasuk 10 biji pil Erimin 5, satu paket plastik lutsinar berisi 9 pil warna hijau disyaki dadah ecstacy seberat 4.84 gram, satu paket plastik lutsinar berisi 11 pil warna ungu juga disyaki dadah jenis ecstacy seberat 4.61 gram dan satu paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis ketamine seberat 9.84 gram serta satu paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 2.60 gram," katanya.

Ayob Khan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Kesiksaan dan Seksyen 39A (1), Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh dikenakan penjara hingga lima tahun dan disebat hingga sembilan sebatan.

Khalid berkongsi perkembangan berkaitan penahanan bekas setiausaha politiknya. FOTO Twitter Khalid Samad
Khalid berkongsi perkembangan berkaitan penahanan bekas setiausaha politiknya. FOTO Twitter Khalid Samad

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 7:26 PM