GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Rafi Mamat


IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan tidak menggalakkan masyarakat untuk melakukan pergerakan rentas daerah dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pahang ketika sambutan Aidilfitri, hujung bulan ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, pihaknya tidak menggalakkan masyarakat berbuat demikian susulan kesukaran memantau orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang ditetapkan pihak kerajaan.

Bagaimanapun, aktiviti ziarah Aidilfitri di rumah jiran terletak dalam kawasan taman perumahan boleh dilakukan dengan mengawal kunjungan tetamu supaya tidak terlalu ramai, katanya.

"Aktiviti ziarah Aidifitri antara daerah dengan daerah tidak digalakan sama sekali kerana ia membabitkan jarak jauh, ziarah yang terbaik adalah dalam satu taman kerana kita pasti mengetahui status jangkitan Covid-19 di kawasan taman terbabit.

"Saya ingin menasihatkan masyarakat supaya sentiasa mematuhi peraturan dan langkah pencegahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan penularan jangkitan wabak Covid-19 tidak berlaku.

"Kali ini masyarakat perlu menerima hakikat bahawa sambutan Aidilfitri tidak semeriah sebelum ini kerana kita sedang berdepan dengan wabak pendamik berkenaan yang belum selesai," katanya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita selepasmelakukan Pemantauan Pematuhan SOP PKPB membabitkan beberapa premis perniagaan dan pusat membeli belah di sekitar bandar Kuantan, semalam.

Mengulas pemantauan pematuhan SOP PKPB di premis perniagaan, Mohd Noor berkata, pihak pengurusan pusat membeli belah dan premis perniagaan dilihat berjaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kerajaan Pahang.

Menurutnya, mereka melaksanakan langkah keselamatan dengan baik sepanjang operasi premisperniagaan dengan menampal notis bilangan pelanggan yang dibenarkan masuk, ujian saringan badan, penyediaan cecair pembasmi kuman dan memastikan pelanggan dan pekerja memakai pelitup.

"Saya berpuas hati dengan SOP yang dipatuhi namun kita akan terus pantau supaya orang ramai dapat mematuhi garis panduan sepanjang masa buka hanya ketika anggota polis ada sahaja.

"Jika ada yang ingkar dan degil, nasihat serta amaran akan diberikan. Tindakan undang-undang akan dikenakan selepas kita mendapat arahan Ketua Polis Negara," katanya.

Mohd Noor berkata, masyarakat perlu terus memberi kerjasama mematuhi SOP bagi memastikan wabak Covid-19 tidak berulang hingga menimbulkan pelbagai masalah pada masyarakat dan pihak berkuasa.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 11:06 AM